Entah ke mana Afro menghilang. Celaka!!
Sudah tiga hari dia tak pulang ke rumah. Dan sudah dua hari pula aku menahan lapar kerana poket aku betul-betul kering.
Aku capai gitar dan mainkan It's Probably Me.
Sampai di bait When your belly's empty / And the hunger's so real / And you're too proud to beg / And too dumb to steal, aku tertawa. Gitar kubaringkan di sebelah.
Aku juga turut berbaring. Mata tepat memandang siling yang kelabu. Fikiran aku menerawang. Jauh! Seperti bola yang dibaling ke dinding. Melantun dari tangan ke dinding, dari dinding ke lantai, kemudian balik semula ke tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, lantai. Lantai, tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, tangan. Tung! Tung! Tung!!
Tanpa dipaksa, otakku ligat menterjemah bait-bait tadi.
Apabila perut kau kosong
dan kelaparan bukan lagi mainan.
Tapi kau terlalu sombong untuk mengemis
dan terlalu bengap untuk mencuri...
Perut aku kembali berkeroncong! Ini betul-betul gila!
Aku bangkit dari katil dan menuju ke dapur. Aku selongkar semua almari tapi tiada satu makanan pun yang aku jumpa. Kecuali satu bungkusan besar
Whiskas yang terikat kemas dengan getah dan beberapa tin
Whiskas yang bersusun rapi di almari.
Aku belek tin-tin
Whiskas itu satu persatu-satu. Nampak macam sedap, tapi aku percaya rasanya tidak seperti Sardin cap Ayam.
Akhirnya, aku cuma ambil dan buka bungkusan besar itu. Aromanya mencucuk hidung. Aku pejamkan mata. Seluk. Keluarkan segenggam. Ngap! Kunyah perlahan, kemudian.
Maafkan aku, Neko!
Dan air mata mula mengalir dari bucu mata.
Read more...