17 - Gelita

Thursday, November 30, 2006

Bila kubuka mata, aku nampak awan yang bergantungan di langit.

Dan aku juga melihat orang ramai berdiri mengerumuniku. Melilau aku mencari Afro. Dia menghampiriku dan kemudian menggoncang-goncang bahuku. Mulutnya terkumat-kamit. Terjerit-jerit, barangkali. Namun aku tak mendengar apa-apa pun. Sepi, kemudian berdengung. Yang mendatang dan menghilang. Kejap dan lama. Hingga hampir merobek gegendang.

Perlahan-lahan, ada memanik keringat yang mengalir masuk ke mataku. Pedih!

Kupejamkan mata. Dunia pun lenyap dalam gelita.

Read more...

16 - Gaduh

Wednesday, November 29, 2006

Aku pun turut menoleh mencari punca haruman wangi itu. Wow! Gadis seksi berdada segar!! Bila aku berpaling, Afro sudah tersenyum sinis. Aku angkat kening padanya. Afro membalas dengan kenyitan mata.

Rasa marah tadi beransur reda. Namun perut aku masih juga belum terisi. Mana pula mamak ni? Masa nak ambil pesanan punyalah lembab tapi bila bagi bil tahu pula cepat!

"Tegu, mari sini. Kita orang mau orderlah!" jerit Afro bila melihat tiada seorang pun yang datang melayan kami.

Tegu datang tergocoh-gacah. "Maaf, encik!"

Aku bulatkan mata. Tegu kulihat sekejap besar, sekejap kecil. Mamak ni kalau aku telan hidup-hidup!!

"Bagi saya beriyani ayam satu, nescafe ais satu. Jangan lambat, hah! Saya lapar ni!!"

Mata-mata di meja kiri dan kanan kembali menyibuk. Ah! Lantaklah!! Malas aku nak ambil peduli.

Tegu bergegas kembali ke dapur bila selesai mengambil pesanan Afro.

"Kau makan apa masa aku tak ada?" Afro bertanya. Nadanya serius.

"Apa yang tinggal, itulah makanan aku!" aku menjawab.

"Makanan kucing?"

Aku mengangguk malas. Sudah terang, lagi bersuluh!!

"Mana kau pergi menghilang selama ini?!" giliran aku pula bertanya.

Belum sempat Afro menjawab, makanan sudah sampai. Aku tak tunggu Afro pelawa. Sedang aku elok melantak, meja kami dilanggar. Habis tertumpah minuman kami. Celaka!

Aku mendongak dan melihat mamat yang melanggar meja kami menonong saja pergi. Tanpa 'ooopss', tanpa 'maaf'.

Aku capai kerusi dan menghayunnya. Kerusi tepat mengenai kepalanya! Kelepuk! Mamat tu jatuh ke lantai. Dia cuba bangun, tapi tidak kuberi peluang. Aku pantas membalun lagi kerusi ke mukanya. Bertalu-talu.

Pandangan aku jadi kelabu. Aku tak ingat apa yang jadi selepas itu. Yang aku dengar, orang menjerit-jerit minta aku berhenti.

Read more...

15 - Jumpa Lagi

Tuesday, November 28, 2006

"Kau tengok poket aku!" jerkah Tapai sambil mengeluarkan kedua-dua belah saku seluarnya.

"Kosong!" matanya merah. Marah atau menangis, mungkin kedua-duanya aku meneka. Yang pastinya peluh mengalir laju dari roma-roma dahi dan tengkuk Tapai.

"Maaflah! Aku ingatkan kau ada sen. Duduklah dulu."

Tapai menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya yang lembab. Dia membetul-betulkan duduknya, terasa rimas dengan seluar dalam yang sudah lencun. Sambil mengelus-ngelus rambut yang masai, Tapai memerhatikan meja-meja lain di Rivadesatera. Ramai yang kelihatan berbisik-bisik memandang. Tapai merenung mereka seorang demi seorang sehingga mereka mengalihkan pandangan ke tempat lain.

"Menyibuk!" getus hatinya.

"Ha pesanlah apa kau nak makan-minum," menyeringai aku mempelawa Tapai yang kelihatan masih marah. Mengharapkan segelas air dapat menyejukkan hati Tapai yang panas.

"Apahal kau panggil aku datang sini? Sampai tak boleh tunggu aku kat rumah pagi tadi?"

Perbualan kami terhenti mendadak apabila masing-masing terhidu haruman segar yang lalu di tepi meja kami. Aku berpaling mencari puncanya, kemudian melemparkan senyuman sinis.

Dia datang lagi rupanya.

Read more...

14 - Kemunculan

Wednesday, November 22, 2006

*Kraaaak*.
Pintu rumah aku tolak perlahan-lahan. Matahari menjengah masuk dari cermin tingkap. Tidak kelihatan bayang Tapai di ruang tamu. Keluar berjalan agaknya.

Aku melangkah menuju ke dapur, mahu membasahkan anak tekak yang kering. Panas betul matahari pagi ini. Aku jenguhkan muka ke dalam ruang perut dapur. Bersepah! Aku mengalihkan pandangan ke atas singki dengan harapan air masak di dalam botol masih penuh. Mata aku tertacap pada sudut di bawah singki. Tong sampah merah kelihatan sudah penuh dengan isi perutnya hampir terjuih. Beberapa ekor ulat putih bersaiz kecil mengeliut-liut mahu keluar melihat dunia.

"To infinity and beyond!" mungkin itu yang mereka jerit-jeritkan.

"Ceh! Pemalas punya Tapai. Kalau ya pun tolonglah buangkan sampah!" getus aku dalam hati sambil memindahkan sampah dari dalam tong ke dalam plastik. Baru empat-lima hari aku tidak pulang ke rumah. Bayangkan kalau seminggu. Bau busuk yang memualkan menusuk-nusuk hidung. Tekak terasa kembang dan perut mula terasa mual.

Tiba-tiba sebiji tin kosong terjatuh ke atas lantai. Sebungkus plastik kosong Whiskas turut ikut bertaburan.

"Eh! Ini makanan Neko..."
"Eh! Takkan Tapai...."

*ting ting ting*
Aku melangkah keluar dari rumah bersama plastik sampah yang membuntal besarnya.

*ting ting ting*
Tin-tin kosong Whiskas berlaga sesama sendiri di dalam plastik.

*ting ting ting*
Harap-harap Tapai akan terlihat mesej yang aku tinggalkan pada gitar. Gila! Kalau ya pun lapar, janganlah makanan kucing pun kau rembat.

*ting ting ting*
Aku perlu lihat dari sudut yang positif. Stok sebulan makanan Neko yang aku beli bulan lalu tidak membazir. Ada yang sudi menghabiskan.

Read more...

13 - Nota

Bangun awal pagi dan Tapai tidak sinonim. Malah tidak paralel sekalipun.

Tapi pagi tadi, aku terjaga tanpa dikejut. Matahari masih segan-segan mengintai dari balik tingkap. Perut aku rancak berkeroncong. Mana tidaknya?! Kalau selama lima hari, perut kau hanya diisi dengan Whiskas pun pasti akan berbunyi juga. Memang ia berkhasiat (walaupun hanya untuk kucing) tapi ia tidak begitu mengenyangkan. Menyelerakan? Jauh sekali!!

Aku capai tuala dan masuk bilik mandi. Jirus sekali dua, asal cukup syarat basah, aku keluar. Sejuk!

Bila aku masuk bilik, aku terpandang pada sekeping nota yang diselitkan di gitar.

Serentak itu juga, hatiku berdetik. Hish! Siapa pula yang tinggalkan nota ni? Tadi sebelum aku mandi, tak ada pula aku nampak. Aku mandi pun bukannya lama sangat, takkan sampai aku langsung tak perasan ada orang masuk dan keluar semula?!

Jumpa di Rivadesatera 5 petang ni.
Aku tunggu kau kat sana.
Jangan lewat!!
- AFRO -


Afro? Celaka betul! Lain kali, kalau nak bagi nota, tinggalkanlah duit sekali. RM10 pun jadilah. Kalau tak ada RM10, RM5 pun aku terima juga. Aku betul-betul kebuluran ni. Mana tahan nak telan biskut kucing saja.

Rivadesatera. 5 petang. Boleh tahan jauh juga tu. Boleh berpeluh juga telur kalau menapak dari sini. Erk.. maksud aku, kalau kau genggam telur* sambil berjalan. (*Tak kiralah, sama ada telur mentah, rebus atau separuh masak.) Telur tu boleh berpeluh sebab tangan kau yang berpeluh.

Telur mana pula yang kau fikirkan?!

Tak semena-mena, tuala aku terlucut. Serentak itu juga, terdengar suara dua tiga orang perempuan ketawa mengekek dari rumah sebelah. Hish! Takkan mereka nampak?!

Mungkin aku belum beritahu, kami duduk berjiran dengan tiga gadis kilang. Tapi nantilah aku cerita pasal mereka ni. Otak aku belum betul-betul stabil lagi. Nanti terkeluar pula cerita yang tak sepatutnya aku tulis di sini. *kenyit-kenyit*

Read more...

12 - Tuah

Monday, November 20, 2006

Aku tulis panjang-panjang. Kemudian bila aku baca semula, segera aku padam. Aku tulis pendek. Aku baca. Aku padam.

Aku tulis, aku baca dan aku padam! Berulang kali. Tiada ada ayat terindah yang mampu aku ungkapkan. Semuanya sudah jadi klise!

Apa-apa pun, aku dan Afro sungguh berbesar hati kerana ada juga pembaca yang sudi singgah ke blog kami ini, apatah lagi untuk mencalonkannya. Terima kasih yang tak terhingga juga pada para juri yang memilih blog kami sebagai pemenang Anugerah Blog Baru Terbaik GJ 2006.

Dan seperti biasa, kami AKAN LEBIH BERTERIMA KASIH kalau kamu sudi mengirimkan wang tunai (atau wang pos) sebagai ganti hadiah itu!

Kepada calon-calon yang tewas kepada kami dalam perebutan anugerah ini, hanya tiga perkataan sahaja yang kami mampu luahkan untuk kalian. "HA HA HA!!"

Dan kepada semua, teruskan membaca!

Read more...

11 - Hilang

Thursday, November 16, 2006

Entah ke mana Afro menghilang. Celaka!!

Sudah tiga hari dia tak pulang ke rumah. Dan sudah dua hari pula aku menahan lapar kerana poket aku betul-betul kering.

Aku capai gitar dan mainkan It's Probably Me.

Sampai di bait When your belly's empty / And the hunger's so real / And you're too proud to beg / And too dumb to steal, aku tertawa. Gitar kubaringkan di sebelah.

Aku juga turut berbaring. Mata tepat memandang siling yang kelabu. Fikiran aku menerawang. Jauh! Seperti bola yang dibaling ke dinding. Melantun dari tangan ke dinding, dari dinding ke lantai, kemudian balik semula ke tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, lantai. Lantai, tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, tangan. Tung! Tung! Tung!!

Tanpa dipaksa, otakku ligat menterjemah bait-bait tadi.

Apabila perut kau kosong
dan kelaparan bukan lagi mainan.
Tapi kau terlalu sombong untuk mengemis
dan terlalu bengap untuk mencuri...

Perut aku kembali berkeroncong! Ini betul-betul gila!

Aku bangkit dari katil dan menuju ke dapur. Aku selongkar semua almari tapi tiada satu makanan pun yang aku jumpa. Kecuali satu bungkusan besar Whiskas yang terikat kemas dengan getah dan beberapa tin Whiskas yang bersusun rapi di almari.

Aku belek tin-tin Whiskas itu satu persatu-satu. Nampak macam sedap, tapi aku percaya rasanya tidak seperti Sardin cap Ayam.

Akhirnya, aku cuma ambil dan buka bungkusan besar itu. Aromanya mencucuk hidung. Aku pejamkan mata. Seluk. Keluarkan segenggam. Ngap! Kunyah perlahan, kemudian.

Maafkan aku, Neko!

Dan air mata mula mengalir dari bucu mata.

Read more...

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP