22 - Wasiat

Wednesday, January 31, 2007

Aku rasa Afro dah mati. Sebenarnya aku mahu percaya dia masih hidup, tapi hati aku berat mengatakan dia sudah mati. Gerak hati walau seberat manapun tak semestinya betul.

Namun sudah sekian lama aku tak nampak dia pulang ke rumah. Anak kucingnya pun hilang entah ke mana. Mungkin dah mati juga.

Tapi kalau Afro betul dah mati, mana kuburnya? Mana bangkainya? Erk, maksud aku mayatnya?

Seminggu dua ni, rajin juga aku menyelak suratkhabar mencari-cari berita tentang penemuan mayat lelaki yang tak dikenali. Manalah tau, kan?!

Tapi kalau Afro betul-betul dah mati, aku akan lebih menyesal kerana aku tak cuba memujuk dia supaya menulis wasiat untuk menyerahkan SLKnya padaku.

Read more...

21 - Baru II

Tuesday, January 09, 2007

*Meowwwwww*

"Oi! Mana datang kucing nih!" jerit Tapai seraya melompat. Hampir-hampir tersembur nasi yang sedang dikunyahnya. Mungkin terkejut dengan kehadiran anak kucing yang secara tiba-tiba muncul.

"Aku beli pagi tadi," aku membiarkan anak kucing tersebut menggesel-geselkan badannya pada keting kaki aku. Manja sungguh. Tetapi geselannya belum cukup kuat untuk membuatkan aku mengalihkan perhatian dari buku yang sedang aku baca.

*Meowwwwww*

"Comel," Tapai membetulkan duduknya. Dia kembali menyuapkan makan ke dalam mulut sambil matanya melirik pada anak kucing berbulu kuning lebat yang sudah membaringkan diri di tepi kaki aku.

"Nama dia Nevo," aku meletakkan buku ke bawah dan mengusap-usap badan Nevo. Nevo mengerang manja.

"Dekat-dekat sama dengan nama Neko. Kau rindukan dia ya?"

Aku membiarkan pertanyaan Tapai tidak berjawab. Selepas seketika, aku kembali kepada buku himpunan puisi "Menyarung Jiwa" Raja Ahmad Aminullah yang baru dibeli pagi tadi, sebelum aku 'tersangkut' di Petzamio, kedai binatang perliharaan di sebelahnya.

"Jangan kau habiskan Whiskas yang aku baru beli tu!" aku mengusik Tapai.

"Celaka kau!"

Dan tawa kami berdua memecah kesuraman ruang tamu.

Read more...

20 - Baru

Thursday, January 04, 2007

Bila aku buka pintu, aku lihat Afro sedang santai membaca di tepi longgokan bukunya.

Celaka! Dulu, masa aku banyak luangkan masa di rumah, jarang pula dia bersantai begitu. Selalu saja hilang tak berjejak. Kini bila aku sudah mula bekerja, selalu pula dia balik rumah.

"Penat?" Afro bertanya tanpa mengangkat mata dari buku di tangannya.

"Kau dah makan?" Aku pula bertanya tanpa menjawab soalannya tadi.

"Dah! Eh, aku belikan kau nasi goreng pattaya. Cuba tengok kat dapur."

Aku masuk dapur, basuh tangan, capai bungkusan plastik dan bawa ke ruang tamu. Bila bungkusan plastik terbuka, aroma nasi goreng pattaya terus memenuhi ruang. Aku suap dan kunyah perlahan. Butir-butir nasi yang tadinya diselimuti telur berlaga-laga di dalam rahang.

"Macam mana kerja kau? Ok?"

"Ok! Senang kerja tu. Cuma aku tak tahan kena bangkit awal."

Afro ketawa mengekek. 'Sarang tebuan' di kepala ikut beroleng-oleng.

"Pelan-pelan kayuh, brader! Nanti kau biasalah. Kerja awal tapi balik pun awal juga, kan?"

Aku mengangguk. Walaupun seawal 6 pagi aku sudah kena terpacak di tempat kerja, tapi sekitar tengahari aku sudah balik rumah berehat.

"Terima kasih, Afro!"

Afro hanya tersengih, matanya masih tertancap pada barisan huruf-huruf di bukunya itu.

Read more...

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP