3 - Mahakarya

Monday, August 28, 2006

Afro masih belum pulang. Aku pula sudah kebuluran sejak tengahari tadi. Tidur bangun tidur bangun saja menahan lapar. Berguling aku menekan perut. Celaka! Mana pula Afro pergi? Petang semalam dia keluar, entah ke mana. Tidak berpesan. Dan aku pula tidak bertanya kerana sangkaku dia akan segera pulang.

Poket aku sudah kontang, tak punya sisa walaupun mahu beli sebungkus roti. Dari pagi tadi aku hanya menogok air kosong. Mujurlah malam semalam, aku jumpa sisa-sisa biskut kering di dapur. Dapatlah mengalas perut, walaupun hanya bercicahkan air kosong. Tapi itulah makanan aku yang terakhir. Biskut kering dan air kosong.

Mahu melelapkan mata lagi, aku sudah pening. Dengan longlai, aku melangkah ke ruang tamu. Kosong.

Aku rasa sedikit aneh! Kerana Afro mampu memiliki SLK tapi rumahnya tidak mempunyai telefon, peti ais, TV mahupun radio. Yang ada hanya longgokan buku yang bersepah di lantai. Ada yang pernah kubaca, ada yang pernah kulihat. Ada juga yang ingin kumiliki. Jorge Luis Borges, Albert Camus, Arenawati, Shahnon Ahmad, Franz Kafka, Usman Awang, James Joyce, A. Samad Said, Gabriel Garcia Marquez dan ramai lagi penulis yang namanya susah aku nak eja. Benar, aku cemburu.

Aku tak pasti sama ada dia gemar membaca atau hanya mengumpul buku.

Aku capai Chronicle of a Death Foretold. Selak menyelak. Tapi lapar-lapar begini susah betul aku nak hadam apa yang tertulis. Celaka! Bilalah si Afro ni nak balik?!

Aku baling buku ke dinding. Serentak itu pintu terkuak.

"Mana kau pergi, brader?"

Aku sangkakan Afro pulang, tapi yang muncul dari balik pintu hanyalah seorang gadis.

"Mana Afro?" tanyanya padaku pula.

Siapa pula ni? Aku memandangnya dari atas ke bawah. Bajunya yang sendat menonjolkan lagi susuk tubuhnya. Skirt putihnya yang benar-benar pendek itu menyerlahkan lagi kakinya yang panjang dan mulus. Dia mengejutkan ghairahku yang tadinya nyenyak berdengkur.

Tapi sayangnya, seketika itu juga pandanganku kabur. Aku terdengar gadis itu menjerit cemas sebelum duniaku terus menjadi gelap!

0 comments:

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP