1 - Pengenalan

Tuesday, August 22, 2006

Kau boleh panggil aku Tapai walaupun sebenarnya itu bukan nama yang tertulis di Kad Pengenalan aku. Nama yang sudah melekat sejak aku bersekolah lagi. Celaka!

Tapi bila dikenang-kenang, tidak seteruk mereka yang dipanggil Jenglot, Penyu atau Pak Misai.

T A P A I. Ringkas saja.

Aku ingat lagi kali pertama aku menjejakkan kaki di bandar X ini. Hujan turun lebat waktu itu. Dengan hanya berbekalkan gitar tong yang sudah lari tunenya dan beberapa helai pakaian yang sudah basah lencun, aku mengejar impian mahu menjadi orang ternama. Tapi sebenarnya aku pun keliru arah mana harus dituju. Sekejap menoleh ke barat, sekejap menoleh ke timur, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menuju ke tenggara.

Sedang aku berjalan meredah hujan, aku nampak seorang lelaki berambut Afro duduk di gerai makan melambai ke arahku.

"Apa hal?"

"Kau tak ingat aku lagi?"

"Tak! Kau salah orang agaknya, brader."

Afro mengerutkan dahinya. Namun sebentar kemudian dia tersenyum. Dia hulurkan tangan untuk berjabat.

"Kau boleh panggil aku Afro. Kau?"

"Tapai."

"Tapai?!" Afro ketawa berdekah-dekah.

Celaka betul lelaki berambut sarang tebuan ni. Berani betul dia!

"Kau nak pergi ke mana ni? Ada tempat nak tidur malam nanti?!"

Aku menggelengkan kepala. Segera dia ajak aku tinggal bersamanya. Dan aku sememangnya sebatang kara saja di bandar X, tidak dapat menolak ajakannya.

Sumpah! Afro bukan gay. Aku juga bukan. Nafsu kami sering melonjak-lonjak bila ternampak perempuan. Sungguh!

Kamu hairan bagaimana kami cepat mesra. Pelik?! Tapi ini cerita benar. Tidak sedikit pun ditokok tambah. Kami mudah bergaul, mungkin kerana kami ini binatang-binatang jalang yang bertemu kumpulannya. Bukankah kehidupan ini lebih aneh daripada fiksyen?

Oh! Aku perlu keluar sebentar. Perut sudah lama minta diisi. Di lain kesempatan, aku akan menulis lagi.

Akhir kata, sambutlah salam perkenalan daripada aku. Hingga kita berjumpa lagi, jagalah diri kamu baik-baik. Berbuatlah baik sesama insan. Jangan mencarut mahupun meludah di tempat awam.

Adios!

0 comments:

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP