34 - Bangkai

Friday, December 07, 2007

"Kau tak akan sedar," jerit lelaki berambut Rasta di bawah jambatan itu, "betapa pahitnya kesengsaraan sehingga kau merasai sendiri dengan lidah kau."

Mataku sudah layu, otakku lelah berjelaga. Berat badanku juga susut teruk. Sudah berbulan aku bergelendangan sejak Afro menghalau aku. Dan lebih malangnya aku juga telah kehilangan kerja.

Akhir-akhir ini aku asyik teringatkan kampung.

"Ada mayat! Ada mayat!!" lelaki berambut Rasta itu menjerit-jerit sambil menuding ke arah sungai.

Read more...

33 - Longgok

Thursday, June 28, 2007

Sampai saja aku di pintu rumah, aku nampak selonggok pakaian aku, gitar dan Nevo ada di situ.

Aku pulas tombol. Berkunci. Aku ketuk pintu bertalu-talu, tiada jawapan. Aku ketuk perlahan, aku ketuk kuat. Tapi hasilnya masih sama. Dan pintu tidak juga dibuka.

Aku garu kepala yang tak gatal. Mana pergi Afro ni? Sudah dihalau, mungkin? Dah lama tak bayar sewa agaknya. Tapi peliknya, kenapa harta benda aku saja yang terlonggok di luar? Erk.. harta benda aku dan Nevo.

Tapi kenapa Nevo pun jadi mangsa? Ah! Parah ni!!

Nevo merengek-merengek kelaparan. Dia mengitari kaki jeans aku yang lusuh. Aku angkat dia. Dia meronta manja minta dilepas. Ikut hati aku, nak saja aku uji teori yang kucing akan jatuh pada empat kakinya. Kalau tingkat 8, aku rasa ok lagi kot!

"Oi, Afro! Kalau ya pun nak halau aku, janganlah buang Nevo ni sekali! Ni kan darah daging kau!"

Tak lama selepas itu aku tepuk dahi. Aku rasa Afro dah tahu yang Nevo yang ini bukan Nevo yang asli.

Ah! Parah ni!!

Read more...

32 - Mabuk

Thursday, June 07, 2007

Aku betul-betul marah hari ini! Sungguh!!

Ini peringatan untuk para perempuan di luar sana. Kalau badan cuma beberapa inci saja lebih tebal dari tiang letrik, elakkanlah memakai jean ketat!

Kalau aku sedang makan, dan kamu lalu di hadapan aku, maka ketahuilah sebenarnya kamu telah menyebabkan selera makan aku hilang. Dan yang lebih menyebabkan aku marah, kamu menyebabkan selera untuk beronani aku hilang!!

Jean ketat hanya sesuai dipakai kalau kamu mempunyai punggung yang montok, pejal, gebu dan beralun-alun bak dipuput bayu. Bukan untuk punggung jenis papan lapis! Tak sesuai langsung!!

Baru sekejap tadi, aku duduk berbincang tentang cara menyelamatkan dunia sambil minum-minum di Rivadesatera dengan lelaki aneh yang mabuk, tiba-tiba lalu sekeping... erk, maksud aku.. satu makhluk Tuhan dalam jean yang teramat ketat. Satu jari pun tak boleh lepas, dude! Macam mana aku nak seluk nanti?

Tekak aku terus kembang. Lelaki aneh yang mabuk itu tersengih. Sinis!

Katanya, "Nampaknya, dunia tak dapat diselamatkan lagi!"

Read more...

31 - Memori

Thursday, April 26, 2007

Memori itu ibarat pisau yang tajam. Ia boleh melukakan.

Aku tahu makanan panas yang aku makan sebentar tadi mee goreng mamak. Walaupun pandangan masih pulih, bau dan rasa mee goreng mamak yang menjadi makanan rujiku sudah cukup aku kenal.

Aku masih belum mengetahui di mana aku berada dan siapa yang menghulurkan makanan kepada aku sebentar tadi. Walaupun cuba diamati, hanya bayangan putih yang bergerak-gerak kelihatan dalam pandangan. Semuanya masih kelihatan terlalu terang. Kecuali apabila mataku tertutup kerana keletihan, barulah kegelapan berganti.

Aku menggaru-garu kuping telinga. Dunia terasa begitu sunyi. Selain pandangan, pendengaranku turut hilang. Aku duduk bungkam.

Malam tadi aku bermimpi lagi. Mimpi yang sama datang berulang-kali.

Read more...

30 - Lupa

Thursday, April 19, 2007

Sepuluh hari berlalu, Afro masih seperti hari pertama dia pulang tempoh hari. Tidurnya masih diganggu racau yang tak keruan. Malah, sekarang dia lebih suka menyendiri di dalam bilik. Dan biliknya itu sentiasa gelap. Tidak sejalur cahaya pun dapat menyelinap masuk.

Balik tengahari tadi, aku singgah di Rivadesatera. Aku bungkuskan mi goreng untuk Afro.

Kemudian, aku singgah pula di Klinik Litomedica untuk berjumpa Dr. Norina. Tapi dia tiada di klinik. Pembantunya pun tidak tahu bila dia akan masuk semula.

Bila aku sampai di rumah, Nevo sudah menjerit-jerit di muka pintu. Mungkin kelaparan. Aku masuk ke dapur. Dan dia terkedek-kedek mengekori dari belakang. Sesekali-sekala dia mengelus di kakiku. Celaka! Nasib baik mood aku agak baik. Kalau tidak, pasti dia sudah aku kuis dan tendang kuat-kuat!

Aku taburkan biskut Whiskas dalam mangkuknya. Dengan lahap dia makan. Ngiauannya tidak kedengaran lagi.

Aku ketuk pintu bilik Afro. Mula-mula perlahan, kemudian kuat. Tidak berjawab tapi aku tahu dia ada di dalam. Mungkin sedang mengerekot di atas katil.

Aku buka pintu, hulurkan mi goreng padanya.

Afro sambut dan bertanya, "Kau siapa?"

Aku cuba membelek riak wajahnya, mana tahu kalau-kalau dia bergurau. Tapi dalam bilik segelap itu, segalanya jadi buntu.

Kusut!

Read more...

29 - Siapa

Tuesday, April 17, 2007

Kepala terasa berdenyut-denyut ketika mata kubuka. Segala-gala masih lagi kelihatan putih. Putih seputih-putihnya. Terlalu terang. Aku tidak pasti aku di mana. Aku cuba menghitung waktu. Cuba mendapatkan kembali ingatan kejadian beberapa hari lepas. Gagal.

Aku mengusap-usap lengan kiri. Masih terasa sakit.

Tiba-tiba aku terdengar bunyi pintu dibuka. Dalam cahaya terang itu aku ternampak bayangan manusia menghulurkan sesuatu.

Kawan atau lawan?

Read more...

28 - Trauma

Monday, April 09, 2007

Seluar jeans amoi comel yang berjalan terkedek-kedek di hadapan aku ini membuat jantung aku sekejap laju, sekejap perlahan. Malah sekali-sekala terus terhenti. Jeans tersangkut di bawah pusat, cawatnya pula kecil. Seperti magnet, mata aku sekejap-kejap tertumpu ke situ. Dan dalam satu dari peluang yang sejuta itu, aku ternampak bayangan alur! Sumpah!! Bukan aku sengaja nak menjenguk, tapi sudah ditunjukkan begitu, aku pun terkejut. Celaka!

Aku hampir pasti amoi ini tidak berseluar dalam! Ha ha!

Otak aku memainkan fantasi nakalnya. Apa akan jadi, kalau aku jatuhkan pen ke dalam alur itu ya? Atau mungkin sekiub ais. Atau lebih bagus, puntung rokok yang masih berbara!

Tapi fantasi aku cuma setakat itu. Otak aku lelah kerana kekurangan oksigen. Lagipun, berfantasi seks ini meletihkan! Kalau letih sebab dapat, lain ceritalah! Ini berdayung pun tidak, tiba-tiba terkapar keletihan!! Celaka namanya tu!

Setelah berminggu berbulan menghilangkan diri, akhirnya semalam Afro pulang juga ke rumah. Kepulangannya mengejutkan. Aku temui dia terbaring di depan pintu semasa nak keluar ke tempat kerja.

Afro seperti orang mabuk tapi tidak pula aku terhidu bau bir dan wiski pada mulut dan tubuhnya. Pakaiannya compang camping. Rambut sarang tebuannya seolah tidak terbela. Wajahnya pucat, tubuhnya dingin.

Aku ingatkan dia dah mati, tapi rupanya tidak. Aku papah dia masuk ke dalam rumah. Berat juga mamat ni! Sudahlah bau badannya menyesakkan hidung!! Tapi kawan punya pasal, aku tolonglah juga walaupun dalam hati menyumpah-nyumpah.

Aku beri dia air. Dia tersedak.

Aku ambil telefon Afro dan hubungi Dr. Norina minta dia datang segera.

"Dia tak apa-apa," kata Dr. Norina, "cuma dia perlukan rehat yang cukup."

"Kenapa dengan Afro sebenarnya, doktor?"

"Itu tak dapat saya pastikan lagi. Saya perlu hantar sampel darah ni dulu untuk diuji selidik."

Namun malam tadi, Afro masih meracau-racau dalam tidurnya. Meronta-ronta dia minta dilepaskan.

Kasihan!

Read more...

27 - Putih

Tuesday, February 20, 2007

Belakang kepala masih berdenyut-denyut tatkala aku membuka mata. Samar-samar. Aku menyeluruhi ruang yang ada. Kesilauan. Hanya ada warna putih di mana-mana. Aku memaksa mata memberikan fokus. Tapi sia-sia. Masih samar-samar. Yang terlihat cuma seakan-akan gemawan. Putih di mana-mana. Sekejap ke kiri. Sekejap ke kanan. Kelihatan sibuk. Aku cuba pula mengecam bunyi. Melarikan fokus deria dari mata ke telinga. Cuma ada bunyi berdesau.

Di mana aku ini. Syurga itu bukankah seharusnya warna-warni. Bukannya putih semata-mata!

Aku baru teringat. Mungkin aku ditahan musuh. Nampaknya mereka berjaya mengesan aku di bandar E. Bukankah jejak semua tertutup rapi.

Tapai, tolong aku! Aku hanya mampu menjerit di dalam hati. Seluruh tubuh bagaikan terkunci.

Tapai!

Aku terasa sakit di bahu kiri. Bagaikan dicubit kuat. Pandangan aku tiba-tiba menjadi gelap. Kanvas yang putih tadi berganti kelam.

Read more...

26 - Kacau

Thursday, February 15, 2007

Sejak insiden membalun orang dengan kerusi beberapa bulan yang lepas, belum pernah lagi aku singgah di Rivadesatera. Tapi petang itu, sengaja aku memilih untuk minum di situ.

Ini semua Nevo punya pasal. Celaka betul!!

Dia sudah *CRET!*kan gitar aku sekali lagi. Kalau ikut hati yang panas, hendak saja aku hempuk dia dengan gitar. Namun bila fikiran sudah waras, aku rasa tak patut pula kalau aku berkasar sangat. Dia hanya anak kucing. Makan, minum, main dan melepas. Itu saja aktivitinya setiap hari. Lagipun aku telah berikrar untuk cuba menjaganya sebaik mungkin.

Aku tidak mahu melihat Afro menangis lagi. Buruk benar rupanya!

Tapi pemandangan di hadapan aku ini benar-benar indah. Bulat dan teroleng-oleng. Membuatkan aku tak senang duduk. Sekejap mengepit, sekejap menguak. Tapi semuanya serba tak kena. Pemandangan di hadapan ini terlalu indah hinggakan kalau tidak mengalihkan pandangan atau berkelip, aku boleh menjadi buta. Entah berapa ribu kali mataku dicucuk malaikat.

Aku mencuri pandang ke dalam lurah, erk... maksud aku, jam tangan orang sebelah. (Parapraksis ini tidak disengajakan. Sungguh!) Sebentar lagi, pukul 6.

"Tapai, tolong aku!!" tiba-tiba aku mendengar orang menjerit. Suara itu benar-benar aku kenal. Aku menoleh ke kanan, kiri dan belakang. Tapi tidak aku nampak batang tubuh tuan punya suara. Dan kulihat orang sekeliling pun tidak seolah-olah tidak mendengar apa yang aku dengar sekejap tadi.

Ya, aku kenal benar suara itu. Tidak syak lagi, itu suara Afro. Tapi dia di mana?

Read more...

25 - Culik

Monday, February 12, 2007

Petang itu aku ke sebuah kafe di Bandar E. Menikmati kopi putih dan 'roti kahwin'. Selepas mencicip kopi yang masih hangat, aku menggigit sedikit roti bakar berintikan kaya dan mentega yang di'kahwin'kan. Enak.

Aku suka suasana di kafe ini. Tenang. Aman. Dunia bagaikan berjalan dengan perlahan di sini. Aku menyeluruhi sekeliling. Dekorasinya berasaskan kayu. Meja marmar dan kerusi kayu menyerlahkan tema Oriental. Cawan dan pinggan yang dihidang terukir indah. Kelihatan begitu asia-klasik.

Jarum jam di dinding kafe menunjukkan ke angka 6. Selesai bersantai, aku akan berangkat pulang ke Bandar X. Kerja seminggu di sini sudah selesai. Apa khabar agaknya Tapai dan Nevo. Tidak sabar rasanya hendak pulang.

Kopi putih ku cicip lagi. Ah, enaknya.

"Ehem!"

Deheman parau betul-betul di belakangku menganggu santaian. Aku berpaling cuba mengecam tuan punya suara. Tiba-tiba satu hentakan kuat singgah di tengkuk.

Dan semuanya kelihatan kelam.

Read more...

24 - Rahsia

Saturday, February 10, 2007

Aku boleh saja buat diam dan bawa rahsia ini ke liang lahad. Tapi rasa bersalah menghantui aku setiap detik. Aku tahu kau tak syak apa-apa tapi baiklah jika aku beritahu kau duduk perkara yang sebenarnya.

Aku bukan teman yang baik. Itu aku akui dan harap kau masih sudi maafkan aku. Itu lebih baik daripada kau tiba-tiba sedar dan tersentak.

Maaf, Afro! Aku tak mampu menjaga seekor anak kucing dengan baik.

Sebenarnya, Nevo yang ini bukan Nevo yang dulu. Nevo yang dulu telah hilang! Sama seperti kau juga yang suka menghilang.

Aku kutip Nevo yang ini ketika pulang dari kerja Jumaat minggu lepas. Bulu kuning lebat. Sama seperti Nevo yang dulu. Jantina? Aku tak pasti. Aku pun tak periksa jantina Nevo yang dulu. Tapi aku harap sama jantinanya dengan Nevo yang ini. Badannya sedikit tembam? Aku pasti tuannya dulu telah menjaganya dengan baik. Dan kini, aku pasti dia sedang meratapi kehilangan anak kucingnya yang comel.

Maafkan aku, Afro! Tapi aku benci melihat kau menangis teresak-esak kerana kucing. Benci! Sungguh!!

Aku tak mahu berjanji tapi aku akan cuba sedaya upaya untuk menjaga Nevo yang ini sebaik mungkin. Kalau ada masa, aku akan latih dia buang air di tandas. Kelmarin dia sudah sudah *CRET!* atas gitar aku. Celaka!

P/S: Terima kasih kerana bagi aku pinjam seratus. Kalau ada duit lebih, hulurlah lagi. Kalau tak ada duit lebih, kunci SLK pun aku terima. Ha ha!

Read more...

23 - Belum

Tuesday, February 06, 2007

"Kalau kau balik rumah, hulur-hulurkan barang seratus-dua ratus ringgit. Aku belum gaji lagi. Terima kasih daun betik, dah gaji aku bayar balik! (Lagi satu, lain kali tinggalkanlah kunci kereta SLK kau sekali hehe)."

Berdekah-dekah aku ketawa selepas membaca mesej yang Tapai tampalkan di tepi suis lampu ruang tamu. Hampir sebulan aku ke luar negara gara-gara tugas yang mendesak. Terlupa pula Tapai baru bulan pertama bekerja, jadi tentu kantungnya sudah kering.

Aku belek-belek semula mesej tersebut. Tiada tarikh tercatat padanya. Harap-harap Tapai dapat pinjam duit dari rakan sekerjanya. Kalau tidak makin kurus-keringlah kawan yang seorang itu.

"Nevo oooo Nevo!"

*Meow*

Nevo menyahut manja dari dapur. Mendengarkan panggilan aku yang kedua, terkedek-kedek dia berlari ke ruang tamu. Nampaknya Nevo semakin tembam. Maknanya Tapai tak kebas makanan Nevo. Nasib baik ada Tapai, boleh juga dia tolong jagakan makan-minum si Nevo. Nevo menggeletek kegelian digaru-garu pada leher dan bawah badannya.

"Maaf Nevo aku tak boleh lama. Kirim salam pada Tapai ya!"

Aku seluk kocek di punggung dan mengeluarkan seratus ringgit dari dalam dompet. Selepas dilipat kecil-kecil aku selitkan duit tersebut pada pemutar kelajuan kipas yang terletak di atas suis lampu berserta mesej "Dapat gaji jangan lupa bayar balik! Jumpa minggu depan, aku ada kerja sikit!"

Read more...

22 - Wasiat

Wednesday, January 31, 2007

Aku rasa Afro dah mati. Sebenarnya aku mahu percaya dia masih hidup, tapi hati aku berat mengatakan dia sudah mati. Gerak hati walau seberat manapun tak semestinya betul.

Namun sudah sekian lama aku tak nampak dia pulang ke rumah. Anak kucingnya pun hilang entah ke mana. Mungkin dah mati juga.

Tapi kalau Afro betul dah mati, mana kuburnya? Mana bangkainya? Erk, maksud aku mayatnya?

Seminggu dua ni, rajin juga aku menyelak suratkhabar mencari-cari berita tentang penemuan mayat lelaki yang tak dikenali. Manalah tau, kan?!

Tapi kalau Afro betul-betul dah mati, aku akan lebih menyesal kerana aku tak cuba memujuk dia supaya menulis wasiat untuk menyerahkan SLKnya padaku.

Read more...

21 - Baru II

Tuesday, January 09, 2007

*Meowwwwww*

"Oi! Mana datang kucing nih!" jerit Tapai seraya melompat. Hampir-hampir tersembur nasi yang sedang dikunyahnya. Mungkin terkejut dengan kehadiran anak kucing yang secara tiba-tiba muncul.

"Aku beli pagi tadi," aku membiarkan anak kucing tersebut menggesel-geselkan badannya pada keting kaki aku. Manja sungguh. Tetapi geselannya belum cukup kuat untuk membuatkan aku mengalihkan perhatian dari buku yang sedang aku baca.

*Meowwwwww*

"Comel," Tapai membetulkan duduknya. Dia kembali menyuapkan makan ke dalam mulut sambil matanya melirik pada anak kucing berbulu kuning lebat yang sudah membaringkan diri di tepi kaki aku.

"Nama dia Nevo," aku meletakkan buku ke bawah dan mengusap-usap badan Nevo. Nevo mengerang manja.

"Dekat-dekat sama dengan nama Neko. Kau rindukan dia ya?"

Aku membiarkan pertanyaan Tapai tidak berjawab. Selepas seketika, aku kembali kepada buku himpunan puisi "Menyarung Jiwa" Raja Ahmad Aminullah yang baru dibeli pagi tadi, sebelum aku 'tersangkut' di Petzamio, kedai binatang perliharaan di sebelahnya.

"Jangan kau habiskan Whiskas yang aku baru beli tu!" aku mengusik Tapai.

"Celaka kau!"

Dan tawa kami berdua memecah kesuraman ruang tamu.

Read more...

20 - Baru

Thursday, January 04, 2007

Bila aku buka pintu, aku lihat Afro sedang santai membaca di tepi longgokan bukunya.

Celaka! Dulu, masa aku banyak luangkan masa di rumah, jarang pula dia bersantai begitu. Selalu saja hilang tak berjejak. Kini bila aku sudah mula bekerja, selalu pula dia balik rumah.

"Penat?" Afro bertanya tanpa mengangkat mata dari buku di tangannya.

"Kau dah makan?" Aku pula bertanya tanpa menjawab soalannya tadi.

"Dah! Eh, aku belikan kau nasi goreng pattaya. Cuba tengok kat dapur."

Aku masuk dapur, basuh tangan, capai bungkusan plastik dan bawa ke ruang tamu. Bila bungkusan plastik terbuka, aroma nasi goreng pattaya terus memenuhi ruang. Aku suap dan kunyah perlahan. Butir-butir nasi yang tadinya diselimuti telur berlaga-laga di dalam rahang.

"Macam mana kerja kau? Ok?"

"Ok! Senang kerja tu. Cuma aku tak tahan kena bangkit awal."

Afro ketawa mengekek. 'Sarang tebuan' di kepala ikut beroleng-oleng.

"Pelan-pelan kayuh, brader! Nanti kau biasalah. Kerja awal tapi balik pun awal juga, kan?"

Aku mengangguk. Walaupun seawal 6 pagi aku sudah kena terpacak di tempat kerja, tapi sekitar tengahari aku sudah balik rumah berehat.

"Terima kasih, Afro!"

Afro hanya tersengih, matanya masih tertancap pada barisan huruf-huruf di bukunya itu.

Read more...

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP