27 - Putih

Tuesday, February 20, 2007

Belakang kepala masih berdenyut-denyut tatkala aku membuka mata. Samar-samar. Aku menyeluruhi ruang yang ada. Kesilauan. Hanya ada warna putih di mana-mana. Aku memaksa mata memberikan fokus. Tapi sia-sia. Masih samar-samar. Yang terlihat cuma seakan-akan gemawan. Putih di mana-mana. Sekejap ke kiri. Sekejap ke kanan. Kelihatan sibuk. Aku cuba pula mengecam bunyi. Melarikan fokus deria dari mata ke telinga. Cuma ada bunyi berdesau.

Di mana aku ini. Syurga itu bukankah seharusnya warna-warni. Bukannya putih semata-mata!

Aku baru teringat. Mungkin aku ditahan musuh. Nampaknya mereka berjaya mengesan aku di bandar E. Bukankah jejak semua tertutup rapi.

Tapai, tolong aku! Aku hanya mampu menjerit di dalam hati. Seluruh tubuh bagaikan terkunci.

Tapai!

Aku terasa sakit di bahu kiri. Bagaikan dicubit kuat. Pandangan aku tiba-tiba menjadi gelap. Kanvas yang putih tadi berganti kelam.

Read more...

26 - Kacau

Thursday, February 15, 2007

Sejak insiden membalun orang dengan kerusi beberapa bulan yang lepas, belum pernah lagi aku singgah di Rivadesatera. Tapi petang itu, sengaja aku memilih untuk minum di situ.

Ini semua Nevo punya pasal. Celaka betul!!

Dia sudah *CRET!*kan gitar aku sekali lagi. Kalau ikut hati yang panas, hendak saja aku hempuk dia dengan gitar. Namun bila fikiran sudah waras, aku rasa tak patut pula kalau aku berkasar sangat. Dia hanya anak kucing. Makan, minum, main dan melepas. Itu saja aktivitinya setiap hari. Lagipun aku telah berikrar untuk cuba menjaganya sebaik mungkin.

Aku tidak mahu melihat Afro menangis lagi. Buruk benar rupanya!

Tapi pemandangan di hadapan aku ini benar-benar indah. Bulat dan teroleng-oleng. Membuatkan aku tak senang duduk. Sekejap mengepit, sekejap menguak. Tapi semuanya serba tak kena. Pemandangan di hadapan ini terlalu indah hinggakan kalau tidak mengalihkan pandangan atau berkelip, aku boleh menjadi buta. Entah berapa ribu kali mataku dicucuk malaikat.

Aku mencuri pandang ke dalam lurah, erk... maksud aku, jam tangan orang sebelah. (Parapraksis ini tidak disengajakan. Sungguh!) Sebentar lagi, pukul 6.

"Tapai, tolong aku!!" tiba-tiba aku mendengar orang menjerit. Suara itu benar-benar aku kenal. Aku menoleh ke kanan, kiri dan belakang. Tapi tidak aku nampak batang tubuh tuan punya suara. Dan kulihat orang sekeliling pun tidak seolah-olah tidak mendengar apa yang aku dengar sekejap tadi.

Ya, aku kenal benar suara itu. Tidak syak lagi, itu suara Afro. Tapi dia di mana?

Read more...

25 - Culik

Monday, February 12, 2007

Petang itu aku ke sebuah kafe di Bandar E. Menikmati kopi putih dan 'roti kahwin'. Selepas mencicip kopi yang masih hangat, aku menggigit sedikit roti bakar berintikan kaya dan mentega yang di'kahwin'kan. Enak.

Aku suka suasana di kafe ini. Tenang. Aman. Dunia bagaikan berjalan dengan perlahan di sini. Aku menyeluruhi sekeliling. Dekorasinya berasaskan kayu. Meja marmar dan kerusi kayu menyerlahkan tema Oriental. Cawan dan pinggan yang dihidang terukir indah. Kelihatan begitu asia-klasik.

Jarum jam di dinding kafe menunjukkan ke angka 6. Selesai bersantai, aku akan berangkat pulang ke Bandar X. Kerja seminggu di sini sudah selesai. Apa khabar agaknya Tapai dan Nevo. Tidak sabar rasanya hendak pulang.

Kopi putih ku cicip lagi. Ah, enaknya.

"Ehem!"

Deheman parau betul-betul di belakangku menganggu santaian. Aku berpaling cuba mengecam tuan punya suara. Tiba-tiba satu hentakan kuat singgah di tengkuk.

Dan semuanya kelihatan kelam.

Read more...

24 - Rahsia

Saturday, February 10, 2007

Aku boleh saja buat diam dan bawa rahsia ini ke liang lahad. Tapi rasa bersalah menghantui aku setiap detik. Aku tahu kau tak syak apa-apa tapi baiklah jika aku beritahu kau duduk perkara yang sebenarnya.

Aku bukan teman yang baik. Itu aku akui dan harap kau masih sudi maafkan aku. Itu lebih baik daripada kau tiba-tiba sedar dan tersentak.

Maaf, Afro! Aku tak mampu menjaga seekor anak kucing dengan baik.

Sebenarnya, Nevo yang ini bukan Nevo yang dulu. Nevo yang dulu telah hilang! Sama seperti kau juga yang suka menghilang.

Aku kutip Nevo yang ini ketika pulang dari kerja Jumaat minggu lepas. Bulu kuning lebat. Sama seperti Nevo yang dulu. Jantina? Aku tak pasti. Aku pun tak periksa jantina Nevo yang dulu. Tapi aku harap sama jantinanya dengan Nevo yang ini. Badannya sedikit tembam? Aku pasti tuannya dulu telah menjaganya dengan baik. Dan kini, aku pasti dia sedang meratapi kehilangan anak kucingnya yang comel.

Maafkan aku, Afro! Tapi aku benci melihat kau menangis teresak-esak kerana kucing. Benci! Sungguh!!

Aku tak mahu berjanji tapi aku akan cuba sedaya upaya untuk menjaga Nevo yang ini sebaik mungkin. Kalau ada masa, aku akan latih dia buang air di tandas. Kelmarin dia sudah sudah *CRET!* atas gitar aku. Celaka!

P/S: Terima kasih kerana bagi aku pinjam seratus. Kalau ada duit lebih, hulurlah lagi. Kalau tak ada duit lebih, kunci SLK pun aku terima. Ha ha!

Read more...

23 - Belum

Tuesday, February 06, 2007

"Kalau kau balik rumah, hulur-hulurkan barang seratus-dua ratus ringgit. Aku belum gaji lagi. Terima kasih daun betik, dah gaji aku bayar balik! (Lagi satu, lain kali tinggalkanlah kunci kereta SLK kau sekali hehe)."

Berdekah-dekah aku ketawa selepas membaca mesej yang Tapai tampalkan di tepi suis lampu ruang tamu. Hampir sebulan aku ke luar negara gara-gara tugas yang mendesak. Terlupa pula Tapai baru bulan pertama bekerja, jadi tentu kantungnya sudah kering.

Aku belek-belek semula mesej tersebut. Tiada tarikh tercatat padanya. Harap-harap Tapai dapat pinjam duit dari rakan sekerjanya. Kalau tidak makin kurus-keringlah kawan yang seorang itu.

"Nevo oooo Nevo!"

*Meow*

Nevo menyahut manja dari dapur. Mendengarkan panggilan aku yang kedua, terkedek-kedek dia berlari ke ruang tamu. Nampaknya Nevo semakin tembam. Maknanya Tapai tak kebas makanan Nevo. Nasib baik ada Tapai, boleh juga dia tolong jagakan makan-minum si Nevo. Nevo menggeletek kegelian digaru-garu pada leher dan bawah badannya.

"Maaf Nevo aku tak boleh lama. Kirim salam pada Tapai ya!"

Aku seluk kocek di punggung dan mengeluarkan seratus ringgit dari dalam dompet. Selepas dilipat kecil-kecil aku selitkan duit tersebut pada pemutar kelajuan kipas yang terletak di atas suis lampu berserta mesej "Dapat gaji jangan lupa bayar balik! Jumpa minggu depan, aku ada kerja sikit!"

Read more...

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP