19 - Mula

Friday, December 08, 2006

"Bila boleh mula?" Dia bertanya sambil memandangku dari atas ke bawah.

Mulut aku terasa gatal nak menjawab, "bila kau nak?" tapi tak terluah. Aku teringat pesan Afro. Masa temuduga jangan tunjuk keras kepala!

Jadi aku hanya senyum dan anggukkan kepala.

"Lagi cepat lagi bagus, encik!"

Giliran dia pula mengangguk. Ada segaris senyuman di wajahnya.

"Kau boleh mula esok. Datang awal, ya?"

"Ya, encik! Terima kasih!!"

Kami berjabat dan sebentar kemudian, aku melangkah keluar dari pejabatnya tersenyum lebar.

Read more...

18 - Kerja

Friday, December 01, 2006

"Tegu! Capin! Tolong angkat!" aku menjerit memanggil pekerja-pekerja di Rivadesatera. Terkedek-kedek mereka berlari ke arah kami. "Tolong angkat dia!" aku menunjuk dengan bucu mulut. Orang ramai yang masih berdiri untuk melihat, sengaja aku tolak ke tepi. Tanpa banyal soal, Tegu dan Capin bergegas membantu mengangkat Tapai menuju ke SLK.

Ketika menekan pedal minyak, aku sempat menoleh kepada mamat yang dibelasah Tapai tadi. Dia sudah duduk bersila di atas lantai. Aku melihat dia menggeleng-gelengkan kepala seperti sedang meratib.

"Jangan jadi gila sudah." bisik hatiku. Yang penting, mamat tadi masih hidup.

Pandangan aku kembali tertumpu ke depan. Destinasi, Litomedica. Tapai masih terbaring di kerusi penumpang. Fikiran aku menerawang, kehairanan. Dari mana Tapai yang kurus kering mendapat kekuatannya sebentar tadi. Takkanlah dari sumber protein dan zat-zat lain dalam Whiskas? Aku tersengih sendirian. Papan tanda Klinik Litomedica sudah kelihatan dari jauh.

*Vrooooom* aku menekan pedal minyak dengan lebih kuat.

** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** ** **

"Ok tak ada apa-apa yang serius. Mungkin letih. Jangan lupa suruh er.. Encik apa tadi namanya?" Dr. Norina membelek monitor komputer di hadapannya.

"Tapai."

"Ha! Jangan lupa suruh Encik Tapai habiskan ubat-ubat yang saya beri ini ya, Afro!" Dr. Norina berpaling melemparkan senyuman manis kepada aku.

"Baik Dok!" aku mengangkat tangan memberi tabik.

"Hahaha! Ada-ada sajalah you ni Afro."

Aku mengangkat punggung dari kerusi empuk klinik dan cuba membantu Tapai bangun dari katil pesakit. "Tak apa, aku boleh bangun sendiri," dia menolak bantuanku.

"Jangan lupa habiskan ubat ya!" pesan Dr. Norina sekali lagi, sebelum kami menutup pintu rawatan. Urusan kami di Litomedica selesai ketika jarum jam hampir mencecah nombor 7. SLK meluncur laju membelah senja.

"Jom kita pergi makan dulu. Kita ke Linardo. Makan special sikit,"

"Jangan pulak kau belasah orang lagi kat sana," aku menyambung perbualan.

"Hmm.. Ikut kaulah," sahut Tapai perlahan, keletihan mungkin. Tangannya menggenggam erat plastik putih berisi ubat-ubatan.

"Oh ya! Aku ada dapatkan kerja untuk kau."

Tapai memalingkan mukanya ke arah aku dengan mata yang terbelalak.

"Sungguh?"

"Sungguh!"

Read more...

17 - Gelita

Thursday, November 30, 2006

Bila kubuka mata, aku nampak awan yang bergantungan di langit.

Dan aku juga melihat orang ramai berdiri mengerumuniku. Melilau aku mencari Afro. Dia menghampiriku dan kemudian menggoncang-goncang bahuku. Mulutnya terkumat-kamit. Terjerit-jerit, barangkali. Namun aku tak mendengar apa-apa pun. Sepi, kemudian berdengung. Yang mendatang dan menghilang. Kejap dan lama. Hingga hampir merobek gegendang.

Perlahan-lahan, ada memanik keringat yang mengalir masuk ke mataku. Pedih!

Kupejamkan mata. Dunia pun lenyap dalam gelita.

Read more...

16 - Gaduh

Wednesday, November 29, 2006

Aku pun turut menoleh mencari punca haruman wangi itu. Wow! Gadis seksi berdada segar!! Bila aku berpaling, Afro sudah tersenyum sinis. Aku angkat kening padanya. Afro membalas dengan kenyitan mata.

Rasa marah tadi beransur reda. Namun perut aku masih juga belum terisi. Mana pula mamak ni? Masa nak ambil pesanan punyalah lembab tapi bila bagi bil tahu pula cepat!

"Tegu, mari sini. Kita orang mau orderlah!" jerit Afro bila melihat tiada seorang pun yang datang melayan kami.

Tegu datang tergocoh-gacah. "Maaf, encik!"

Aku bulatkan mata. Tegu kulihat sekejap besar, sekejap kecil. Mamak ni kalau aku telan hidup-hidup!!

"Bagi saya beriyani ayam satu, nescafe ais satu. Jangan lambat, hah! Saya lapar ni!!"

Mata-mata di meja kiri dan kanan kembali menyibuk. Ah! Lantaklah!! Malas aku nak ambil peduli.

Tegu bergegas kembali ke dapur bila selesai mengambil pesanan Afro.

"Kau makan apa masa aku tak ada?" Afro bertanya. Nadanya serius.

"Apa yang tinggal, itulah makanan aku!" aku menjawab.

"Makanan kucing?"

Aku mengangguk malas. Sudah terang, lagi bersuluh!!

"Mana kau pergi menghilang selama ini?!" giliran aku pula bertanya.

Belum sempat Afro menjawab, makanan sudah sampai. Aku tak tunggu Afro pelawa. Sedang aku elok melantak, meja kami dilanggar. Habis tertumpah minuman kami. Celaka!

Aku mendongak dan melihat mamat yang melanggar meja kami menonong saja pergi. Tanpa 'ooopss', tanpa 'maaf'.

Aku capai kerusi dan menghayunnya. Kerusi tepat mengenai kepalanya! Kelepuk! Mamat tu jatuh ke lantai. Dia cuba bangun, tapi tidak kuberi peluang. Aku pantas membalun lagi kerusi ke mukanya. Bertalu-talu.

Pandangan aku jadi kelabu. Aku tak ingat apa yang jadi selepas itu. Yang aku dengar, orang menjerit-jerit minta aku berhenti.

Read more...

15 - Jumpa Lagi

Tuesday, November 28, 2006

"Kau tengok poket aku!" jerkah Tapai sambil mengeluarkan kedua-dua belah saku seluarnya.

"Kosong!" matanya merah. Marah atau menangis, mungkin kedua-duanya aku meneka. Yang pastinya peluh mengalir laju dari roma-roma dahi dan tengkuk Tapai.

"Maaflah! Aku ingatkan kau ada sen. Duduklah dulu."

Tapai menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya yang lembab. Dia membetul-betulkan duduknya, terasa rimas dengan seluar dalam yang sudah lencun. Sambil mengelus-ngelus rambut yang masai, Tapai memerhatikan meja-meja lain di Rivadesatera. Ramai yang kelihatan berbisik-bisik memandang. Tapai merenung mereka seorang demi seorang sehingga mereka mengalihkan pandangan ke tempat lain.

"Menyibuk!" getus hatinya.

"Ha pesanlah apa kau nak makan-minum," menyeringai aku mempelawa Tapai yang kelihatan masih marah. Mengharapkan segelas air dapat menyejukkan hati Tapai yang panas.

"Apahal kau panggil aku datang sini? Sampai tak boleh tunggu aku kat rumah pagi tadi?"

Perbualan kami terhenti mendadak apabila masing-masing terhidu haruman segar yang lalu di tepi meja kami. Aku berpaling mencari puncanya, kemudian melemparkan senyuman sinis.

Dia datang lagi rupanya.

Read more...

14 - Kemunculan

Wednesday, November 22, 2006

*Kraaaak*.
Pintu rumah aku tolak perlahan-lahan. Matahari menjengah masuk dari cermin tingkap. Tidak kelihatan bayang Tapai di ruang tamu. Keluar berjalan agaknya.

Aku melangkah menuju ke dapur, mahu membasahkan anak tekak yang kering. Panas betul matahari pagi ini. Aku jenguhkan muka ke dalam ruang perut dapur. Bersepah! Aku mengalihkan pandangan ke atas singki dengan harapan air masak di dalam botol masih penuh. Mata aku tertacap pada sudut di bawah singki. Tong sampah merah kelihatan sudah penuh dengan isi perutnya hampir terjuih. Beberapa ekor ulat putih bersaiz kecil mengeliut-liut mahu keluar melihat dunia.

"To infinity and beyond!" mungkin itu yang mereka jerit-jeritkan.

"Ceh! Pemalas punya Tapai. Kalau ya pun tolonglah buangkan sampah!" getus aku dalam hati sambil memindahkan sampah dari dalam tong ke dalam plastik. Baru empat-lima hari aku tidak pulang ke rumah. Bayangkan kalau seminggu. Bau busuk yang memualkan menusuk-nusuk hidung. Tekak terasa kembang dan perut mula terasa mual.

Tiba-tiba sebiji tin kosong terjatuh ke atas lantai. Sebungkus plastik kosong Whiskas turut ikut bertaburan.

"Eh! Ini makanan Neko..."
"Eh! Takkan Tapai...."

*ting ting ting*
Aku melangkah keluar dari rumah bersama plastik sampah yang membuntal besarnya.

*ting ting ting*
Tin-tin kosong Whiskas berlaga sesama sendiri di dalam plastik.

*ting ting ting*
Harap-harap Tapai akan terlihat mesej yang aku tinggalkan pada gitar. Gila! Kalau ya pun lapar, janganlah makanan kucing pun kau rembat.

*ting ting ting*
Aku perlu lihat dari sudut yang positif. Stok sebulan makanan Neko yang aku beli bulan lalu tidak membazir. Ada yang sudi menghabiskan.

Read more...

13 - Nota

Bangun awal pagi dan Tapai tidak sinonim. Malah tidak paralel sekalipun.

Tapi pagi tadi, aku terjaga tanpa dikejut. Matahari masih segan-segan mengintai dari balik tingkap. Perut aku rancak berkeroncong. Mana tidaknya?! Kalau selama lima hari, perut kau hanya diisi dengan Whiskas pun pasti akan berbunyi juga. Memang ia berkhasiat (walaupun hanya untuk kucing) tapi ia tidak begitu mengenyangkan. Menyelerakan? Jauh sekali!!

Aku capai tuala dan masuk bilik mandi. Jirus sekali dua, asal cukup syarat basah, aku keluar. Sejuk!

Bila aku masuk bilik, aku terpandang pada sekeping nota yang diselitkan di gitar.

Serentak itu juga, hatiku berdetik. Hish! Siapa pula yang tinggalkan nota ni? Tadi sebelum aku mandi, tak ada pula aku nampak. Aku mandi pun bukannya lama sangat, takkan sampai aku langsung tak perasan ada orang masuk dan keluar semula?!

Jumpa di Rivadesatera 5 petang ni.
Aku tunggu kau kat sana.
Jangan lewat!!
- AFRO -


Afro? Celaka betul! Lain kali, kalau nak bagi nota, tinggalkanlah duit sekali. RM10 pun jadilah. Kalau tak ada RM10, RM5 pun aku terima juga. Aku betul-betul kebuluran ni. Mana tahan nak telan biskut kucing saja.

Rivadesatera. 5 petang. Boleh tahan jauh juga tu. Boleh berpeluh juga telur kalau menapak dari sini. Erk.. maksud aku, kalau kau genggam telur* sambil berjalan. (*Tak kiralah, sama ada telur mentah, rebus atau separuh masak.) Telur tu boleh berpeluh sebab tangan kau yang berpeluh.

Telur mana pula yang kau fikirkan?!

Tak semena-mena, tuala aku terlucut. Serentak itu juga, terdengar suara dua tiga orang perempuan ketawa mengekek dari rumah sebelah. Hish! Takkan mereka nampak?!

Mungkin aku belum beritahu, kami duduk berjiran dengan tiga gadis kilang. Tapi nantilah aku cerita pasal mereka ni. Otak aku belum betul-betul stabil lagi. Nanti terkeluar pula cerita yang tak sepatutnya aku tulis di sini. *kenyit-kenyit*

Read more...

12 - Tuah

Monday, November 20, 2006

Aku tulis panjang-panjang. Kemudian bila aku baca semula, segera aku padam. Aku tulis pendek. Aku baca. Aku padam.

Aku tulis, aku baca dan aku padam! Berulang kali. Tiada ada ayat terindah yang mampu aku ungkapkan. Semuanya sudah jadi klise!

Apa-apa pun, aku dan Afro sungguh berbesar hati kerana ada juga pembaca yang sudi singgah ke blog kami ini, apatah lagi untuk mencalonkannya. Terima kasih yang tak terhingga juga pada para juri yang memilih blog kami sebagai pemenang Anugerah Blog Baru Terbaik GJ 2006.

Dan seperti biasa, kami AKAN LEBIH BERTERIMA KASIH kalau kamu sudi mengirimkan wang tunai (atau wang pos) sebagai ganti hadiah itu!

Kepada calon-calon yang tewas kepada kami dalam perebutan anugerah ini, hanya tiga perkataan sahaja yang kami mampu luahkan untuk kalian. "HA HA HA!!"

Dan kepada semua, teruskan membaca!

Read more...

11 - Hilang

Thursday, November 16, 2006

Entah ke mana Afro menghilang. Celaka!!

Sudah tiga hari dia tak pulang ke rumah. Dan sudah dua hari pula aku menahan lapar kerana poket aku betul-betul kering.

Aku capai gitar dan mainkan It's Probably Me.

Sampai di bait When your belly's empty / And the hunger's so real / And you're too proud to beg / And too dumb to steal, aku tertawa. Gitar kubaringkan di sebelah.

Aku juga turut berbaring. Mata tepat memandang siling yang kelabu. Fikiran aku menerawang. Jauh! Seperti bola yang dibaling ke dinding. Melantun dari tangan ke dinding, dari dinding ke lantai, kemudian balik semula ke tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, lantai. Lantai, tangan. Tangan, dinding. Dinding, lantai. Lantai, tangan. Tung! Tung! Tung!!

Tanpa dipaksa, otakku ligat menterjemah bait-bait tadi.

Apabila perut kau kosong
dan kelaparan bukan lagi mainan.
Tapi kau terlalu sombong untuk mengemis
dan terlalu bengap untuk mencuri...

Perut aku kembali berkeroncong! Ini betul-betul gila!

Aku bangkit dari katil dan menuju ke dapur. Aku selongkar semua almari tapi tiada satu makanan pun yang aku jumpa. Kecuali satu bungkusan besar Whiskas yang terikat kemas dengan getah dan beberapa tin Whiskas yang bersusun rapi di almari.

Aku belek tin-tin Whiskas itu satu persatu-satu. Nampak macam sedap, tapi aku percaya rasanya tidak seperti Sardin cap Ayam.

Akhirnya, aku cuma ambil dan buka bungkusan besar itu. Aromanya mencucuk hidung. Aku pejamkan mata. Seluk. Keluarkan segenggam. Ngap! Kunyah perlahan, kemudian.

Maafkan aku, Neko!

Dan air mata mula mengalir dari bucu mata.

Read more...

10 - Mati

Saturday, October 14, 2006

Aku lihat Afro menangis teresak-esak di ruang tamu. Air matanya berjurai-jurai keluar. Hingusnya begitu juga. Aku pasti sesuatu yang dahsyat telah terjadi.

"Kenapa brader?"

"Neko mati!"

Wah! Dahsyat betul Afro ni! Baru kematian kucing tangisnya sudah seteruk ini. Bagaimana nanti kalau dia kematian kekasih?

Aku benar buntu. Aku tak kasihkan kucing, aku tak tahu bagaimana peritnya rasa bila kematian kucing. Aku tak tahu bagaimana untuk memujuk orang yang kematian kucing.

Wajarkah jika aku ucapkan, "Sabarlah Afro, Tuhan lebih sayangkan dia!"

Bagaimana kalau Afro berkata, "Maksud kau aku kurang sayangkan Neko? Begitu?!" atau "Maksud kau Tuhan tak sayangkan kita sebab tu kita masih hidup?! Kalau Tuhan sayangkan kita, tentu kita dah lama mati, kan?"

Sebab itu aku tinggalkan dia sendirian. Aku masuk bilik, capai gitar dan mainkan lagu Stairway to Heaven.

Tabik untukmu Neko. Jangan lupa tunggu Afro di pintu syurga, ya!

Read more...

9 - Belon

Monday, October 09, 2006

4.17 petang. Satu dua tiga empat lima enam tujuh lapan sembilan sepuluh sebelas dua belas tiga belas empat belas lima belas...

Masa mengensot begitu perlahan. Aku menggenyeh mata yang sedikit bengkak akibat tidur yang lama. Jam di dinding seakan berhenti berputar. Malah bumi juga seolah-olah pegun di atas paksinya.

"Tapai! Jom ikut aku!!" Jerit Afro dari ruang tamu.

Aku bangkit dan membuka pintu bilik. Aku lihat Afro sibuk membetulkan 'sarang tebuan' di atas kepalanya. Aku seperti mahu ketawa tapi lapar-lapar begini aku rasa lebih elok jika aku tak bazirkan tenaga untuk itu semua.

"Ke mana?! Nak buka awal lagi!"

"Ikut sajalah!!"

Maka menderulah SLK membelah taman-taman perumahan di bandar X. Sampai di sebuah taman permainan yang sesak dengan kanak-kanak, Afro memberhentikan keretanya.

"Sini? Ada apa?!"

Afro tidak mahu menjawab. Dia keluar dari keretanya dan menuju ke papan gelungsur di situ. Kanak-kanak yang sibuk bermain di situ terus berlari ke tepi. Ada yang menyorok di belakang ibunya. Mungkin gerun melihat rambut Afro yang begitu besar.

Tanpa banyak bicara Afro memanjat naik dan seketika kemudian menggelungsur turun. Berulang kali naik dan turun hinggakan ada ibu-ibu yang menjegilkan mata dan menjuihkan bibir.

Gila! Tapi kulihat Afro tidak sedikit pun peduli.

Di satu sudut, aku lihat ada dua kanak-kanak menguis tanah. Seorang daripadanya mengangkat sesuatu. Sebentar kemudian, mereka saling tolak menolak. Berebutkan sesuatu. Seakan mahu berkelahi. Aku bergegas menghampiri mereka.

"Belon ni aku punya!"

"Bukan! Aku yang jumpa dulu, akulah punya!"

Benda di tangan mereka itulah yang jadi puncanya.

"Bagi abang belon tu!"

Mereka tersentak. Dengan terketar-ketar menghulurkan belon yang mereka rebutkan kepadaku.

Sebelum menyambut, aku amati belon itu. Aku lihat ada cecair likat yang masih tersisa di dalam belon itu. Celaka! Ini BUKAN belon!!

"Buang!" Jerit aku, "Buang cepat!!"

Entah bangsat dan sundal manalah yang sanggup melampiaskan nafsu tanpa mengira tempat. Sudahlah tidak tahu malu, 'bahan bukti' pun ditinggalkan bersepah-sepah.

"Kenapa?!" tanya Afro yang tiba-tiba muncul di sebelah.

Aku menunding ke arah belon yang bukan belon itu. Terbeliak mata Afro!

Read more...

8 - Teruja

Thursday, October 05, 2006

Sepanjang perjalanan balik dari berbuka Afro bersiul.

"Boleh tahan juga awek tu ya, brader?" Aku sengaja memancing Afro untuk berbual.

Sengih Afro makin melebar. Tapi dia masih diam tak berkata apa. Seolah-olah dia berada dalam dunia yang lain. Terapung di awang-awangan.

"Siapa awek tu? Kau kenal dia?" Aku memancing lagi.

Afro berhenti bersiul. Senyumnya mengendur, dahinya berkerut. Dia menoleh ke arahku. "Buat masa ni biarlah rahsia dulu. Nanti aku ceritakan. Bila sempat!"

"Mata kau pun aku tengok tak lepas dari dada dan punggung dia saja!" giliran Afro pula memuntahkan butir-butir pelurunya.

Aku ketawa sebelum menjawab, "Aku sekadar nak mengiyakan yang aku ni masih benar-benar lelaki. Dan nafsu aku masih boleh diarahkan pada jantina yang sepatutnya. Kau tak takut kalau kalau selera aku beralih arah?!"

"Ha! Kau buatlah perangai pelik-pelik, aku halau kau nanti!!" Afro seakan mengugut.

"Oi! Rileklah brader, aku gurau jelah!"

Dan isi SLK malam itu kembali sunyi.

Bila senyap begini, aku kembali memikirkan bagaimana Afro boleh hilang tiba-tiba dari meja kami dan muncul kemudian pun dalam sekelip mata. Ada sesuatu yang tak kena, tapi aku diamkan dahulu. Aku tak rasa ini masa yang sesuai untuk aku ajukan pada Afro.

Aku sandarkan kepala dan lelapkan mata, sementara Afro yang memandu kembali bersiul. Pastinya dengan hati yang berbunga-bunga.

Read more...

7 - Buka

Wednesday, October 04, 2006

"Tapai! Sudahlah," aku mengajak Tapai keluar dari kawasan bazaar Ramadhan. Tapai mengangguk-angguk. Matanya bulat. Mungkin sudah puas dicuci.

"Nanti penuh pulak Rivadesatera tu," aku menyisipkan alasan. Walhal sebenarnya aku sesak dengan pemandangan di bazaar tersebut.

"Allahu-Akbar..." kedengaran azan berkumandang dari corong radio Rivadesatera. Meredah lautan manusia di bazaar melewatkan kami. Kami terkocoh-kocoh ke meja yang telah ditempah sedari awal. Sudah tersedia teh tarik dan kopi di atasnya.

"Bacalah doa buka," aku memandang Tapai. "Bismillah..." Tapai hanya tersengih-sengih sambil menadah tangan. Lubang hidungnya membulat apabila sengihannya semakin melebar. Aku menyelesaikan doa dan terus menghirup kapucinong. Ah! Nikmatnya berbuka. Aku bersandar dan memandang langit. Tiba-tiba aku terasa angin lembut lalu di sisi meja kami dan sekilas haruman wangi menyusuli. Aku dan Tapai sama-sama memandang ke sebelah kiri. Seorang gadis berpakaian seksi berjalan melepasi meja. Kepalanya diangkat bangga, seakan sedar orang-orang di Rivadesatera sedang memerhatikannya. "Oh budak ni," aku tersengih sumbing.

Tapai menyambung mengunyah kuih koci yang dibeli tadi. Matanya masih terpaku pada punggung gadis seksi yang baru hendak dihenyakkan ke kerusi. Dia duduk selang beberapa baris dari meja kami. Meja itu sudah dipenuhi rakan-rakannya.

*ZRRAPPP*

"Lah! Mana si Afro pergi? Takkan cabut?"

"Siapa nak bayar air nih?" kedengaran Tapai mengomel sendirian mengalihkan pandangan dari gadis tadi.

*ZRRAPP!!*

Aku berdehem menolak kahak di dalam kerongkong. "Eh! Kau pergi mana tadi Afro?" Tapai mengerutkan dahi, kehairanan dengan kehilangan dan kemunculan aku dengan secara tiba-tiba.

Ekor mata aku mengerling ke arah gadis tadi yang kini riuh rendah di mejanya. Tapi butir percakapannya kurang jelas kedengaran. Dadanya yang gebu dan subur itu disapunya bersungguh-sungguh. Manakala rakan-rakannya pula kecoh-kecoh memandang sekeliling membulatkan mata.

Kapucinong yang semakin sejuk di meja aku hirup dengan perasaan berbunga-bunga di hati.

Read more...

6 - Ramadhan

Saturday, September 30, 2006

Semalam Afro ajak berbuka di Rivadesatera. Entah apa sedapnya makan di situ, aku pun tak tahu. Tapi yang pastinya mata kami kenyang!

Kebetulan berhampiran Rivadesatera terdapat deretan gerai yang menjual berbagai jenis juadah. Afro dan aku menyusuri bazar Ramadhan ini perlahan-lahan. Mencari sesuatu yang boleh dijadikan pembuka selera kami nanti. Tapi mata kami terus-terusan dihidangkan dengan benda-benda yang bulat dan beroleng-oleng. Dalam berbagai saiz dan warna. Hish! Ngeri!!

Aku pandang Afro, Afro pandang aku. Dia menggeleng, aku tersengih. Tinggal beberapa minit sahaja untuk berbuka tapi cabaran dan ujiannya menjadi lebih dahsyat. Takkan kami nak jalan tutup mata pula, ya tak?!

Pesan Sweet Charity dulu, "Jangan jalan raba-raba, nanti masuk longkang!!"

Seperti matahari, benda-benda bulat ini mampu memberi sinar dalam hidup kami. Dan seperti matahari juga, kalau dipandang tanpa berkelip dalam jangkamasa yang lama mata boleh rosak!

Ubat kalau diambil melebihi dos yang ditetapkan juga boleh memudaratkan, bukan?

Read more...

5 - Neko

Thursday, September 21, 2006

"Nah!" aku mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna merah ke atas meja.

Tapai yang kelihatan masih mamai, menggosok-gosok mata. Satu kuapan panjang menyusul. Dia kemudiannya membulatkan mata ke susuk tubuh di tengah rumah. Sah! Afro yang pulang. Bukan gadis berbaju sendat berskrit putih tadi. Sendat! Putih! Ah! Asyik! Tapai tersenyum sendiri sambil mengepit kelangkang yang masih terasa lembab. Dia mengensot malas ke meja.

"Maggie goreng?" Tapai mengeluh, menggelengkan kepala.

"Bukan kau dulu suka makan maggie goreng?"

"Dulu bila? Kan aku dah cakap, aku tak kenal kau!"

Pap!
"Oh.. aku lupa. Maaf." aku menghadiahkan sengihan pada Tapai yang duduk bersila di tepi meja jepun. Satu-satunya perabot di ruang tersebut.

Aku menguis-nguis buku yang bersepah di atas lantai. Albert Camus, Arenawati, James Joyce, antara penulis-penulis mahsyur abad ini. Yang aku cari tiada di situ. Aku tolak kesemua buku tersebut ke tepi dinding. Biarkan di situ dululah! Aku bersandar pada dinding, di tepi buku-buku karya agung.

"Kau nampak Neko aku?"

"Neko? Err...."
Alamak! Dia tahukah Neko ada ke mari? Dia tahukah aku dan Neko sebentar tadi...

Mampus!

Tapai terbayangkan gadis berbaju sendat dengan skirt putih pendeknya. Masih terasa panas dada gadis itu di mukanya. Oh Neko!

Celaka!

"Er.... tadi dia ada datang sekejap. Tapi kau tak ada, dia baliklah..." Tapai menjawab sedikit terketar-ketar. Suara orang bersalah.

"Balik? Balik mana pulak? Kucing aku tu nak balik mana lagi?"

"Kucing? Neko tu kucing?"

"Ya! Kucing aku, nama dia Neko!"

Read more...

4 - Angan

Monday, September 04, 2006

Aku tak tau berapa lama aku pengsan. Aku kini terbaring di atas katil. Kepalaku diriba gadis yang muncul di pintu tadi. Wajahku diraup lembut, rambutku dielus manja. Sengaja aku biarkan perlakuannya. Aku buka mataku sebentar dan pejamkan kembali. Buat-buat tak sedarkan diri lagi.

Dadanya yang bersalut baju sendat itu dekat benar dengan mukaku. Pemandangan ini sedikit menyesakkan nafasku. Apa akan jadi kalau aku dihempapnya? Dapatkah kau bayangkan? Tapi itu mungkin juga satu nikmat yang lama aku idamkan sejak datang ke bandar X ini.

Celaka atau tuahkah ini? Bagaimana kalau Afro tiba-tiba muncul di pintu? Mungkin dia akan terus mengamuk dan menghalau aku keluar?

Ah! Pedulilah! Biarlah aku baring sejenak. Baring di riba gadis yang berskirt putih yang benar-benar pendek ini satu pengalaman yang mengasyikan.

Perlahan-lahan mataku mula berat. Aku terus hanyut.

Sebaik bangkit, aku menguliti dan menggomoli gadis itu bersungguh-sungguh. Pakaian kami habis tertanggal. Mulut kami bertaut. Habis segala lekuk dan lurah aku usapi. Dia mendesah, mengerang, merintih mahukan layanan yang lebih lagi. Habis segala aksi aku sudahi. Sekejap ditunggang, sekejap ditonggeng. Depan belakang kiri kanan atas bawah. Lengkap satu kitaran. Dan akhirnya kami berdua terdampar. Lelah.

Aku kembali terjaga entah berapa lama kemudian. Bukan di katil tapi menelentang di lantai ruang tamu. Dengan longgokan buku tak jauh dariku. Chronicle of a Death Foretold tercampak di belah sana. Aku pandang sekeliling. Tiada Afro. Tiada gadis misteri.

Yang ada hanya aku dengan seluar dalam yang lembap di bahagian hadapan. Dan perut yang masih ganas berkeroncong.

Ah! Ini benar-benar celaka!!

Read more...

3 - Mahakarya

Monday, August 28, 2006

Afro masih belum pulang. Aku pula sudah kebuluran sejak tengahari tadi. Tidur bangun tidur bangun saja menahan lapar. Berguling aku menekan perut. Celaka! Mana pula Afro pergi? Petang semalam dia keluar, entah ke mana. Tidak berpesan. Dan aku pula tidak bertanya kerana sangkaku dia akan segera pulang.

Poket aku sudah kontang, tak punya sisa walaupun mahu beli sebungkus roti. Dari pagi tadi aku hanya menogok air kosong. Mujurlah malam semalam, aku jumpa sisa-sisa biskut kering di dapur. Dapatlah mengalas perut, walaupun hanya bercicahkan air kosong. Tapi itulah makanan aku yang terakhir. Biskut kering dan air kosong.

Mahu melelapkan mata lagi, aku sudah pening. Dengan longlai, aku melangkah ke ruang tamu. Kosong.

Aku rasa sedikit aneh! Kerana Afro mampu memiliki SLK tapi rumahnya tidak mempunyai telefon, peti ais, TV mahupun radio. Yang ada hanya longgokan buku yang bersepah di lantai. Ada yang pernah kubaca, ada yang pernah kulihat. Ada juga yang ingin kumiliki. Jorge Luis Borges, Albert Camus, Arenawati, Shahnon Ahmad, Franz Kafka, Usman Awang, James Joyce, A. Samad Said, Gabriel Garcia Marquez dan ramai lagi penulis yang namanya susah aku nak eja. Benar, aku cemburu.

Aku tak pasti sama ada dia gemar membaca atau hanya mengumpul buku.

Aku capai Chronicle of a Death Foretold. Selak menyelak. Tapi lapar-lapar begini susah betul aku nak hadam apa yang tertulis. Celaka! Bilalah si Afro ni nak balik?!

Aku baling buku ke dinding. Serentak itu pintu terkuak.

"Mana kau pergi, brader?"

Aku sangkakan Afro pulang, tapi yang muncul dari balik pintu hanyalah seorang gadis.

"Mana Afro?" tanyanya padaku pula.

Siapa pula ni? Aku memandangnya dari atas ke bawah. Bajunya yang sendat menonjolkan lagi susuk tubuhnya. Skirt putihnya yang benar-benar pendek itu menyerlahkan lagi kakinya yang panjang dan mulus. Dia mengejutkan ghairahku yang tadinya nyenyak berdengkur.

Tapi sayangnya, seketika itu juga pandanganku kabur. Aku terdengar gadis itu menjerit cemas sebelum duniaku terus menjadi gelap!

Read more...

2 - Retro

Aku sudah lama tinggal di bandar X ini. Sudah cukup masak dengan asam garam kehidupan 'X'nya. Bandar X tidak pernah tidur. Tidak pernah sunyi. Setiap saat ada saja pergerakkan di perutnya. Jika tidak di bawah lampu neon, pasti ada yang mengesot-engsot di lorong-lorong gelap.

Aku Afro. Mudah mengenali aku. Kau tidak akan terlepas pandang pada aku jika berjalan di bandar X. Mana ada lagi orang yang berambut sarang tebuan di zaman ini. Hanya aku, si Afro. Aku rasa unik. Namun khalayak memandang aku sinis. Aku boleh mendengar mereka berbisik 'gila! hodoh! bodoh!'. Kadangkala teringin benar aku tunjukkan jari tengah pada mereka.

"Nah!"
"Ambik!"
"Aku ada kacau kau ke?"

Tapi seringnya jari tengah hanya tegak dalam khayalan. Aku tahu, tidak perlu untuk semua itu. Dan aku tahu mata mereka terbeliak apabila melihat aku menundukkan kepala afro ini ke dalam SLK biru chrome edisi khas, seperti selalunya.

"Nah!"
"Ambik!"
Aku tersenyum sinis. SLK meluncur meredah hujan yang lebat meninggalkan jumud-jumud yang masih terbeliak. Selepas setengah jam perjalanan, hujan semakin lebat dan pandangan juga terhad. Nasib baik juga sudah tiba di destinasi.

Setelah meletakkan kereta di sisi jalan, aku berlari-lari anak ke Rivadesatera, sebuah gerai yang agak popular di bandar X. "Teh tarik satu!" salah seorang pekerja di situ menjerit.

"Nak makan apa hari ini bang?"

"Aku nak minum saja Tegu," aku menggeleng kepala sambil menyapu-nyapu air hujan di rambut afroku.

Aku pelanggan tetap di Rivadesatera. Seingat aku sudah bertahun aku minum dan makan di situ. Rutin yang berulang-ulang hampir setiap hari, teh tarik dengan murtabak daging. Duduk di meja dan kerusi yang sama melihat keindahan ciptaan tuhan yang lalu-lalang melenggang setiap petang. Uh asyik!

Tetapi rutin aku terganggu hari itu. Di dalam hujan lebat, aku terlihat seorang lelaki dengan sebuah gitar tong meredah hujan di seberang jalan. Seperti kelibat seseorang yang aku kenali dulu.

"Oi!" aku melambai-lambaikan tangan padanya.

Read more...

1 - Pengenalan

Tuesday, August 22, 2006

Kau boleh panggil aku Tapai walaupun sebenarnya itu bukan nama yang tertulis di Kad Pengenalan aku. Nama yang sudah melekat sejak aku bersekolah lagi. Celaka!

Tapi bila dikenang-kenang, tidak seteruk mereka yang dipanggil Jenglot, Penyu atau Pak Misai.

T A P A I. Ringkas saja.

Aku ingat lagi kali pertama aku menjejakkan kaki di bandar X ini. Hujan turun lebat waktu itu. Dengan hanya berbekalkan gitar tong yang sudah lari tunenya dan beberapa helai pakaian yang sudah basah lencun, aku mengejar impian mahu menjadi orang ternama. Tapi sebenarnya aku pun keliru arah mana harus dituju. Sekejap menoleh ke barat, sekejap menoleh ke timur, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menuju ke tenggara.

Sedang aku berjalan meredah hujan, aku nampak seorang lelaki berambut Afro duduk di gerai makan melambai ke arahku.

"Apa hal?"

"Kau tak ingat aku lagi?"

"Tak! Kau salah orang agaknya, brader."

Afro mengerutkan dahinya. Namun sebentar kemudian dia tersenyum. Dia hulurkan tangan untuk berjabat.

"Kau boleh panggil aku Afro. Kau?"

"Tapai."

"Tapai?!" Afro ketawa berdekah-dekah.

Celaka betul lelaki berambut sarang tebuan ni. Berani betul dia!

"Kau nak pergi ke mana ni? Ada tempat nak tidur malam nanti?!"

Aku menggelengkan kepala. Segera dia ajak aku tinggal bersamanya. Dan aku sememangnya sebatang kara saja di bandar X, tidak dapat menolak ajakannya.

Sumpah! Afro bukan gay. Aku juga bukan. Nafsu kami sering melonjak-lonjak bila ternampak perempuan. Sungguh!

Kamu hairan bagaimana kami cepat mesra. Pelik?! Tapi ini cerita benar. Tidak sedikit pun ditokok tambah. Kami mudah bergaul, mungkin kerana kami ini binatang-binatang jalang yang bertemu kumpulannya. Bukankah kehidupan ini lebih aneh daripada fiksyen?

Oh! Aku perlu keluar sebentar. Perut sudah lama minta diisi. Di lain kesempatan, aku akan menulis lagi.

Akhir kata, sambutlah salam perkenalan daripada aku. Hingga kita berjumpa lagi, jagalah diri kamu baik-baik. Berbuatlah baik sesama insan. Jangan mencarut mahupun meludah di tempat awam.

Adios!

Read more...

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP