10 - Mati

Saturday, October 14, 2006

Aku lihat Afro menangis teresak-esak di ruang tamu. Air matanya berjurai-jurai keluar. Hingusnya begitu juga. Aku pasti sesuatu yang dahsyat telah terjadi.

"Kenapa brader?"

"Neko mati!"

Wah! Dahsyat betul Afro ni! Baru kematian kucing tangisnya sudah seteruk ini. Bagaimana nanti kalau dia kematian kekasih?

Aku benar buntu. Aku tak kasihkan kucing, aku tak tahu bagaimana peritnya rasa bila kematian kucing. Aku tak tahu bagaimana untuk memujuk orang yang kematian kucing.

Wajarkah jika aku ucapkan, "Sabarlah Afro, Tuhan lebih sayangkan dia!"

Bagaimana kalau Afro berkata, "Maksud kau aku kurang sayangkan Neko? Begitu?!" atau "Maksud kau Tuhan tak sayangkan kita sebab tu kita masih hidup?! Kalau Tuhan sayangkan kita, tentu kita dah lama mati, kan?"

Sebab itu aku tinggalkan dia sendirian. Aku masuk bilik, capai gitar dan mainkan lagu Stairway to Heaven.

Tabik untukmu Neko. Jangan lupa tunggu Afro di pintu syurga, ya!

Read more...

9 - Belon

Monday, October 09, 2006

4.17 petang. Satu dua tiga empat lima enam tujuh lapan sembilan sepuluh sebelas dua belas tiga belas empat belas lima belas...

Masa mengensot begitu perlahan. Aku menggenyeh mata yang sedikit bengkak akibat tidur yang lama. Jam di dinding seakan berhenti berputar. Malah bumi juga seolah-olah pegun di atas paksinya.

"Tapai! Jom ikut aku!!" Jerit Afro dari ruang tamu.

Aku bangkit dan membuka pintu bilik. Aku lihat Afro sibuk membetulkan 'sarang tebuan' di atas kepalanya. Aku seperti mahu ketawa tapi lapar-lapar begini aku rasa lebih elok jika aku tak bazirkan tenaga untuk itu semua.

"Ke mana?! Nak buka awal lagi!"

"Ikut sajalah!!"

Maka menderulah SLK membelah taman-taman perumahan di bandar X. Sampai di sebuah taman permainan yang sesak dengan kanak-kanak, Afro memberhentikan keretanya.

"Sini? Ada apa?!"

Afro tidak mahu menjawab. Dia keluar dari keretanya dan menuju ke papan gelungsur di situ. Kanak-kanak yang sibuk bermain di situ terus berlari ke tepi. Ada yang menyorok di belakang ibunya. Mungkin gerun melihat rambut Afro yang begitu besar.

Tanpa banyak bicara Afro memanjat naik dan seketika kemudian menggelungsur turun. Berulang kali naik dan turun hinggakan ada ibu-ibu yang menjegilkan mata dan menjuihkan bibir.

Gila! Tapi kulihat Afro tidak sedikit pun peduli.

Di satu sudut, aku lihat ada dua kanak-kanak menguis tanah. Seorang daripadanya mengangkat sesuatu. Sebentar kemudian, mereka saling tolak menolak. Berebutkan sesuatu. Seakan mahu berkelahi. Aku bergegas menghampiri mereka.

"Belon ni aku punya!"

"Bukan! Aku yang jumpa dulu, akulah punya!"

Benda di tangan mereka itulah yang jadi puncanya.

"Bagi abang belon tu!"

Mereka tersentak. Dengan terketar-ketar menghulurkan belon yang mereka rebutkan kepadaku.

Sebelum menyambut, aku amati belon itu. Aku lihat ada cecair likat yang masih tersisa di dalam belon itu. Celaka! Ini BUKAN belon!!

"Buang!" Jerit aku, "Buang cepat!!"

Entah bangsat dan sundal manalah yang sanggup melampiaskan nafsu tanpa mengira tempat. Sudahlah tidak tahu malu, 'bahan bukti' pun ditinggalkan bersepah-sepah.

"Kenapa?!" tanya Afro yang tiba-tiba muncul di sebelah.

Aku menunding ke arah belon yang bukan belon itu. Terbeliak mata Afro!

Read more...

8 - Teruja

Thursday, October 05, 2006

Sepanjang perjalanan balik dari berbuka Afro bersiul.

"Boleh tahan juga awek tu ya, brader?" Aku sengaja memancing Afro untuk berbual.

Sengih Afro makin melebar. Tapi dia masih diam tak berkata apa. Seolah-olah dia berada dalam dunia yang lain. Terapung di awang-awangan.

"Siapa awek tu? Kau kenal dia?" Aku memancing lagi.

Afro berhenti bersiul. Senyumnya mengendur, dahinya berkerut. Dia menoleh ke arahku. "Buat masa ni biarlah rahsia dulu. Nanti aku ceritakan. Bila sempat!"

"Mata kau pun aku tengok tak lepas dari dada dan punggung dia saja!" giliran Afro pula memuntahkan butir-butir pelurunya.

Aku ketawa sebelum menjawab, "Aku sekadar nak mengiyakan yang aku ni masih benar-benar lelaki. Dan nafsu aku masih boleh diarahkan pada jantina yang sepatutnya. Kau tak takut kalau kalau selera aku beralih arah?!"

"Ha! Kau buatlah perangai pelik-pelik, aku halau kau nanti!!" Afro seakan mengugut.

"Oi! Rileklah brader, aku gurau jelah!"

Dan isi SLK malam itu kembali sunyi.

Bila senyap begini, aku kembali memikirkan bagaimana Afro boleh hilang tiba-tiba dari meja kami dan muncul kemudian pun dalam sekelip mata. Ada sesuatu yang tak kena, tapi aku diamkan dahulu. Aku tak rasa ini masa yang sesuai untuk aku ajukan pada Afro.

Aku sandarkan kepala dan lelapkan mata, sementara Afro yang memandu kembali bersiul. Pastinya dengan hati yang berbunga-bunga.

Read more...

7 - Buka

Wednesday, October 04, 2006

"Tapai! Sudahlah," aku mengajak Tapai keluar dari kawasan bazaar Ramadhan. Tapai mengangguk-angguk. Matanya bulat. Mungkin sudah puas dicuci.

"Nanti penuh pulak Rivadesatera tu," aku menyisipkan alasan. Walhal sebenarnya aku sesak dengan pemandangan di bazaar tersebut.

"Allahu-Akbar..." kedengaran azan berkumandang dari corong radio Rivadesatera. Meredah lautan manusia di bazaar melewatkan kami. Kami terkocoh-kocoh ke meja yang telah ditempah sedari awal. Sudah tersedia teh tarik dan kopi di atasnya.

"Bacalah doa buka," aku memandang Tapai. "Bismillah..." Tapai hanya tersengih-sengih sambil menadah tangan. Lubang hidungnya membulat apabila sengihannya semakin melebar. Aku menyelesaikan doa dan terus menghirup kapucinong. Ah! Nikmatnya berbuka. Aku bersandar dan memandang langit. Tiba-tiba aku terasa angin lembut lalu di sisi meja kami dan sekilas haruman wangi menyusuli. Aku dan Tapai sama-sama memandang ke sebelah kiri. Seorang gadis berpakaian seksi berjalan melepasi meja. Kepalanya diangkat bangga, seakan sedar orang-orang di Rivadesatera sedang memerhatikannya. "Oh budak ni," aku tersengih sumbing.

Tapai menyambung mengunyah kuih koci yang dibeli tadi. Matanya masih terpaku pada punggung gadis seksi yang baru hendak dihenyakkan ke kerusi. Dia duduk selang beberapa baris dari meja kami. Meja itu sudah dipenuhi rakan-rakannya.

*ZRRAPPP*

"Lah! Mana si Afro pergi? Takkan cabut?"

"Siapa nak bayar air nih?" kedengaran Tapai mengomel sendirian mengalihkan pandangan dari gadis tadi.

*ZRRAPP!!*

Aku berdehem menolak kahak di dalam kerongkong. "Eh! Kau pergi mana tadi Afro?" Tapai mengerutkan dahi, kehairanan dengan kehilangan dan kemunculan aku dengan secara tiba-tiba.

Ekor mata aku mengerling ke arah gadis tadi yang kini riuh rendah di mejanya. Tapi butir percakapannya kurang jelas kedengaran. Dadanya yang gebu dan subur itu disapunya bersungguh-sungguh. Manakala rakan-rakannya pula kecoh-kecoh memandang sekeliling membulatkan mata.

Kapucinong yang semakin sejuk di meja aku hirup dengan perasaan berbunga-bunga di hati.

Read more...

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP