3 - Mahakarya

Monday, August 28, 2006

Afro masih belum pulang. Aku pula sudah kebuluran sejak tengahari tadi. Tidur bangun tidur bangun saja menahan lapar. Berguling aku menekan perut. Celaka! Mana pula Afro pergi? Petang semalam dia keluar, entah ke mana. Tidak berpesan. Dan aku pula tidak bertanya kerana sangkaku dia akan segera pulang.

Poket aku sudah kontang, tak punya sisa walaupun mahu beli sebungkus roti. Dari pagi tadi aku hanya menogok air kosong. Mujurlah malam semalam, aku jumpa sisa-sisa biskut kering di dapur. Dapatlah mengalas perut, walaupun hanya bercicahkan air kosong. Tapi itulah makanan aku yang terakhir. Biskut kering dan air kosong.

Mahu melelapkan mata lagi, aku sudah pening. Dengan longlai, aku melangkah ke ruang tamu. Kosong.

Aku rasa sedikit aneh! Kerana Afro mampu memiliki SLK tapi rumahnya tidak mempunyai telefon, peti ais, TV mahupun radio. Yang ada hanya longgokan buku yang bersepah di lantai. Ada yang pernah kubaca, ada yang pernah kulihat. Ada juga yang ingin kumiliki. Jorge Luis Borges, Albert Camus, Arenawati, Shahnon Ahmad, Franz Kafka, Usman Awang, James Joyce, A. Samad Said, Gabriel Garcia Marquez dan ramai lagi penulis yang namanya susah aku nak eja. Benar, aku cemburu.

Aku tak pasti sama ada dia gemar membaca atau hanya mengumpul buku.

Aku capai Chronicle of a Death Foretold. Selak menyelak. Tapi lapar-lapar begini susah betul aku nak hadam apa yang tertulis. Celaka! Bilalah si Afro ni nak balik?!

Aku baling buku ke dinding. Serentak itu pintu terkuak.

"Mana kau pergi, brader?"

Aku sangkakan Afro pulang, tapi yang muncul dari balik pintu hanyalah seorang gadis.

"Mana Afro?" tanyanya padaku pula.

Siapa pula ni? Aku memandangnya dari atas ke bawah. Bajunya yang sendat menonjolkan lagi susuk tubuhnya. Skirt putihnya yang benar-benar pendek itu menyerlahkan lagi kakinya yang panjang dan mulus. Dia mengejutkan ghairahku yang tadinya nyenyak berdengkur.

Tapi sayangnya, seketika itu juga pandanganku kabur. Aku terdengar gadis itu menjerit cemas sebelum duniaku terus menjadi gelap!

Read more...

2 - Retro

Aku sudah lama tinggal di bandar X ini. Sudah cukup masak dengan asam garam kehidupan 'X'nya. Bandar X tidak pernah tidur. Tidak pernah sunyi. Setiap saat ada saja pergerakkan di perutnya. Jika tidak di bawah lampu neon, pasti ada yang mengesot-engsot di lorong-lorong gelap.

Aku Afro. Mudah mengenali aku. Kau tidak akan terlepas pandang pada aku jika berjalan di bandar X. Mana ada lagi orang yang berambut sarang tebuan di zaman ini. Hanya aku, si Afro. Aku rasa unik. Namun khalayak memandang aku sinis. Aku boleh mendengar mereka berbisik 'gila! hodoh! bodoh!'. Kadangkala teringin benar aku tunjukkan jari tengah pada mereka.

"Nah!"
"Ambik!"
"Aku ada kacau kau ke?"

Tapi seringnya jari tengah hanya tegak dalam khayalan. Aku tahu, tidak perlu untuk semua itu. Dan aku tahu mata mereka terbeliak apabila melihat aku menundukkan kepala afro ini ke dalam SLK biru chrome edisi khas, seperti selalunya.

"Nah!"
"Ambik!"
Aku tersenyum sinis. SLK meluncur meredah hujan yang lebat meninggalkan jumud-jumud yang masih terbeliak. Selepas setengah jam perjalanan, hujan semakin lebat dan pandangan juga terhad. Nasib baik juga sudah tiba di destinasi.

Setelah meletakkan kereta di sisi jalan, aku berlari-lari anak ke Rivadesatera, sebuah gerai yang agak popular di bandar X. "Teh tarik satu!" salah seorang pekerja di situ menjerit.

"Nak makan apa hari ini bang?"

"Aku nak minum saja Tegu," aku menggeleng kepala sambil menyapu-nyapu air hujan di rambut afroku.

Aku pelanggan tetap di Rivadesatera. Seingat aku sudah bertahun aku minum dan makan di situ. Rutin yang berulang-ulang hampir setiap hari, teh tarik dengan murtabak daging. Duduk di meja dan kerusi yang sama melihat keindahan ciptaan tuhan yang lalu-lalang melenggang setiap petang. Uh asyik!

Tetapi rutin aku terganggu hari itu. Di dalam hujan lebat, aku terlihat seorang lelaki dengan sebuah gitar tong meredah hujan di seberang jalan. Seperti kelibat seseorang yang aku kenali dulu.

"Oi!" aku melambai-lambaikan tangan padanya.

Read more...

1 - Pengenalan

Tuesday, August 22, 2006

Kau boleh panggil aku Tapai walaupun sebenarnya itu bukan nama yang tertulis di Kad Pengenalan aku. Nama yang sudah melekat sejak aku bersekolah lagi. Celaka!

Tapi bila dikenang-kenang, tidak seteruk mereka yang dipanggil Jenglot, Penyu atau Pak Misai.

T A P A I. Ringkas saja.

Aku ingat lagi kali pertama aku menjejakkan kaki di bandar X ini. Hujan turun lebat waktu itu. Dengan hanya berbekalkan gitar tong yang sudah lari tunenya dan beberapa helai pakaian yang sudah basah lencun, aku mengejar impian mahu menjadi orang ternama. Tapi sebenarnya aku pun keliru arah mana harus dituju. Sekejap menoleh ke barat, sekejap menoleh ke timur, akhirnya aku mengambil keputusan untuk menuju ke tenggara.

Sedang aku berjalan meredah hujan, aku nampak seorang lelaki berambut Afro duduk di gerai makan melambai ke arahku.

"Apa hal?"

"Kau tak ingat aku lagi?"

"Tak! Kau salah orang agaknya, brader."

Afro mengerutkan dahinya. Namun sebentar kemudian dia tersenyum. Dia hulurkan tangan untuk berjabat.

"Kau boleh panggil aku Afro. Kau?"

"Tapai."

"Tapai?!" Afro ketawa berdekah-dekah.

Celaka betul lelaki berambut sarang tebuan ni. Berani betul dia!

"Kau nak pergi ke mana ni? Ada tempat nak tidur malam nanti?!"

Aku menggelengkan kepala. Segera dia ajak aku tinggal bersamanya. Dan aku sememangnya sebatang kara saja di bandar X, tidak dapat menolak ajakannya.

Sumpah! Afro bukan gay. Aku juga bukan. Nafsu kami sering melonjak-lonjak bila ternampak perempuan. Sungguh!

Kamu hairan bagaimana kami cepat mesra. Pelik?! Tapi ini cerita benar. Tidak sedikit pun ditokok tambah. Kami mudah bergaul, mungkin kerana kami ini binatang-binatang jalang yang bertemu kumpulannya. Bukankah kehidupan ini lebih aneh daripada fiksyen?

Oh! Aku perlu keluar sebentar. Perut sudah lama minta diisi. Di lain kesempatan, aku akan menulis lagi.

Akhir kata, sambutlah salam perkenalan daripada aku. Hingga kita berjumpa lagi, jagalah diri kamu baik-baik. Berbuatlah baik sesama insan. Jangan mencarut mahupun meludah di tempat awam.

Adios!

Read more...

  © Blogger template Writer's Blog by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP